Akhirnya Pusat terima syor P. Pinang tangani krisis air, ‘Super El Nino’ sehingga Jun

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

JAWI – Kerajaan Persekutuan akhirnya menerima langkah-langkah pencegahan dicadangkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) demi menangani krisis bekalan air serta kemarau berpanjangan di negeri ini, Kedah, Perlis dan utara Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa berkata, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) pada 26 April lalu telahpun mengadakan mesyuarat di Putrajaya, yang membabitkan agensiagensi kerajaan berwajib.

Selain PBAPP, katanya, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Syarikat Air Perlis (SAP), Lembaga Air Perak (LAP), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) masing-masing turut menghantar wakil pada mesyuarat itu.

“Seperti yang kita fahami, mesyuarat itu bersetuju untuk menerima pakai semua cadangan Pulau Pinang untuk memastikan bekalan air yang mencukupi di bahagian utara sehingga akhir musim ‘Super El Nino’ pada Jun 2016,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kolam Air R3 dekat Kolam Air PBAPP Jawi di sini baru-baru ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Ahli Lembaga Pengarah PBAPP.

“Kita masih belum lagi keluar dari zon bahaya. Hanya hujan lebat yang konsisten mampu menambah simpanan air di semua empangan di Pulau Pinang, wilayah utara dan di seluruh negara.

“Operasi pembenihan awan secara meluas perlu terus dilakukan tanpa henti untuk mencetuskan hujan lebat di kawasan tadahan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak.

“Kita (Pulau Pinang) tidak mahu apa yang berlaku di Empangan Bukit Merah (dekat Perak), salah satu daripada empangan tertua di negara ini, berlaku di Pulau Pinang,” ujar Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai.

Pada 14 dan 15 April lalu, Jaseni bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil langkah proaktif, memandangkan krisis bekalan air berkaitan bakal mengancam kira-kira 4 juta penduduk di keempatempat negeri di utara Semenanjung Malaysia.

Jaseni sendiri sebelum ini telah mengutus enam surat rasmi kepada badan persekutuan.

Malah, Guan Eng pada 21 April lalu juga menulis surat kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Majlis Sumber Air Negara (MSAN) bagi memohon campur tangan beliau berhubung krisis kekurangan air membabitkan empat buah negeri.

Dalam surat itu, Jaseni menggesa empat langkah proaktif, iaitu penangguhan pengairan padi, pelaksanaan pelan pembenihan awan secara besar-besaran, mengurangkan pelepasan air demi memanjangkan tempoh tahan simpanan air dan menggalakkan orang ramai mengguna air secara berhemah.

“Dalam mesyuarat KeTTHA pada 26 April 2016 itu, (Kerajaan Negeri) Kedah telah bersetuju menangguhkan pengairan dalam sistem Sungai Muda.

“Tanpa pengairan, Empangan Muda dan Empangan Beris kurang melepaskan air dan simpanannya akan bertahan lebih lama.

“Pembenihan awan giat dijalankan dan kita mendapat lebih banyak hujan sejak beberapa minggu lalu. Orang ramai kini sedar tentang kepentingan jimat air,” ujar beliau.