Pak Su Mee Udang – bahan segar rahsia resipi masakan

 

OLEH : ZULIANA AZIZ

GAMBAR : AHMAD FARHAN MOHD. FAUZI

KETAM, udang, sotong, ikan dan siput merupakan makanan laut yang sangat digemari terutama rakyat Malaysia. Sesuai dengan jenis masakan, baunya saja sudah pasti menggiurkan si pemakan.

Kali ini, Buletin Mutiara (BM) berpeluang menjengah ke sebuah warung yang sememangnya terkenal dengan masakan lautnya. Terletak di Jalan Kuala Juru, Warung Pak Su Mee Udang setia menanti para pelanggan yang datang dari dalam dan luar negara bagi menikmati segala jenis masakan yang disediakan.

Pak Su, atau nama sebenarnya Zakaria Ahmad, merupakan orang yang bertanggungjawab mengusahakan perniagaan tersebut bersama isteri tersayang, Maznah Md. Rodi sambil dibantu oleh saudara mara terdekat seperti kakak, adik dan anak saudara mereka.

Menurut Pak Su, warungnya telah beroperasi hampir 10 tahun dan bertapak di tempat sama iaitu bersebelahan kediamannya sendiri. Juga terkenal dengan jolokan Warung Nasi Ketam, pelbagai menu terutama makanan laut yang enak disediakan di sini. Nasi ketam atau nasi goreng ketam merupakan antara menu pilihan utama selain mee udang, nasi udang, mee ketam, ikan bakar, kerang bakar, kari ikan sembilang, tomyam dan sebagainya.

Warung Pak Su dibuka setiap hari kecuali hari Khamis bermula jam 12 tengah hari hingga 10 malam (bergantung kepada stok ketam yang ada). Adakalanya warung ditutup seawal jam 8 malam kerana sudah kehabisan ketam terutama pada malam minggu atau cuti umum.

Bahan mentah diperoleh segar dari laut setiap hari. Difahamkan, sebanyak 60 kilogram (kg) ketam dibeli setiap pagi bagi menampung perniagaan selama satu hari. Lebih menarik, resipi untuk membuat ketam sambal adalah idea Pak Su suami isteri.

Macam mana orang makan sedap, macam tu juga kita nak makan sedap,” ujar Pak Su berseloroh kepada wartawan BM sambil melemparkan senyuman.

Bersempena dengan bulan Ramadhan, para pengunjung yang ingin menikmati hidangan yang disediakan hendaklah membuat tempahan terlebih dahulu. Ini bagi memudahkan urusan pengunjung yang datang untuk berbuka puasa dan para pekerja Pak Su sendiri supaya keadaan tidak menjadi kelam kabut dek kedatangan orang ramai secara serentak.

Sebagai makluman, harga bagi satu set nasi ketam ialah RM12. Terpulang kepada pelanggan sama ada mahu memilih di antara nasi putih atau nasi goreng mengikut selera masing-masing. Manakala harga bagi satu set nasi udang pula hanya RM10 setiap seorang. Selain itu, warung ini juga menyediakan set hidangan untuk empat orang yang mengandungi ketam sambal, udang goreng daun kari, ikan bakar serta sayur atau tomyam. Semuanya dengan harga yang sangat berpatutan iaitu RM130 sahaja. Malah, golongan pelajar juga diberi harga istimewa jika datang berkunjung ke Warung Pak Su.

Walaupun Malaysia sekarang dibebani dengan harga barang yang semakin meningkat, namun Pak Su tetap mengekalkan resipi masakannya. Baginya, selera pelanggan harus dijaga dan diberi keutamaan kerana tanpa mereka, perniagaan Pak Su tidak akan membuahkan hasil seperti sekarang.

Pak Su juga mengamalkan prinsip “biar orang ramai, untung sikit.” Sifat kesederhanaan yang ditonjolkan Pak Su sekeluarga inilah yang mendorong pelanggan untuk terus mengunjungi warungnya.

Bagi mereka yang ingin mencuba hidangan yang disediakan di Warung Pak Su, anda sangat dialu-alukan untuk mengunjungi warung beliau di No. 385, Mukim 12, Bagan Nyior Juru, 14000 Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Untuk tempahan dan maklumat lanjut, sila hubungi Warung Pak Su di talian 012-4090771 atau 012-4935771.