“Anggap kerja sebagai satu tanggungjawab, bukan bebanan,” Setiausaha Perbandaran MPSP, Tuan Haji Rozali Haji Mohamud

 

OLEH : ZULIANA AZIZ

GAMBAR : AHMAD FARHAN MOHD. FAUZI

 

SIFATNYA yang peramah, mudah mesra dan murah dengan senyuman membuatkan Buletin Mutiara (BM) tertarik untuk mewawancara beliau bagi keluaran kali ini. Dengan jadual yang sangat padat, beliau sangat berbesar hati atas kesudian pihak BM bertemu dan merungkai sedikit sebanyak latar belakang kerjayanya sebagai Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). Ikuti temuramah eksklusif BM dengan Tuan Haji Rozali yang sudah 29 tahun bergelar penjawat awam.

BM : Sebagai Setiausaha Perbandaran MPSP yang baharu saja dilantik, bolehkah Tuan Haji huraikan serba sedikit mengenai bidang tugas Tuan Haji.

HAJI ROZALI : Tugas utama saya adalah seperti yang termaktub di dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 Seksyen 2 iaitu sebagai Ketua Pegawai Pentadbir. Di samping itu, menjadi tugas besar saya dan Yang DiPertua (YDP) MPSP, Puan Maimunah Mohd. Sharif untuk merealisasikan wawasan Kerajaan Negeri iaitu menjadikan Pulau Pinang bertaraf antarabangsa dan wawasan MPSP iaitu menjadikan Seberang Perai Bersih, indah dan selesa didiami, bekerja serta menjadi tarikan pelaburan. Dalam halatuju yang sama, saya dan YDP tidak lupa pesanan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng semasa hari mengangkat sumpah iaitu menjadikan MPSP organisasi yang cemerlang dengan mewujudkan 3s (sistem bekerja yang betul, sikap positif di kalangan pekerja dan semangat berpasukan).

BM : Berdasarkan maklumat tersebut, apakah cabaran yang Tuan Haji hadapi dalam bidang ini.

HAJI ROZALI : Kerjaya saya bermula sejak 11 April 1982, bermula di Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan Malysia. Apabila saya dilantik sebagai Setiausaha Perbandaran pada 1 Mac 2011 yang lalu, pelbagai cabaran besar telah saya hadapi terutama bagaimana mengubah sikap warga kerja MPSP seramai 1,600 orang supaya bekerja dan menyampaikan perkhidmatan yang memberi kepuasan kepada pelanggan. Saya selalu berfikiran bahawa menganggap kerja sebagai satu tanggungjawab dan bukan bebanan. Untuk melakukan tugas yang besar, apa yang paling penting ialah fokus dan bijak mengatur strategi. Saya juga harus memikirkan bagaimana mengubah sikap warga Seberang Perai supaya mengamalkan tabiat mengitar semula dan tidak membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya.

BM : Berdasarkan maklumat tersebut, ternyata bidang tugas Tuan Haji sangat meluas dan memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Apakah prinsip yang Tuan Haji amalkan dalam melakukan kerja-kerja harian.

HAJI ROZALI : Saya berasal daripada keluarga penanam padi. Bapa saya juga aktif di dalam pertubuhan dan memegang beberapa jawatan antaranya Setiausaha Lembaga Pengelola Sekolah. Manakala ibu saya seorang yang gigih bekerja dan kreatif. Sejak kecil, saya telah diajar untuk berdikari dan mengamalkan disiplin kendiri yang tinggi. Saya tidak pernah merungut atau merayu, sebaliknya menerima setiap tugas yang diberikan kepada saya dengan hati terbuka. Anggaplah semua tugas yang diberi sebagai suatu cabaran. Tiga prinsip yang saya amalkan kini ialah ‘speed and simplicity’ (laju dan mudah), bekerja sebagai satu pasukan dan ‘outcome’ tidak boleh dipaksa tetapi kita boleh memaksa pelaksanaan untuk menghasilkan ‘outcome’ yang dikehendaki.

BM : MPSP sekarang semakin maju dengan beberapa projek yang telah dilaksanakan dengan jayanya. Terkini, MPSP telah mengambil inisiatif dengan mewujudkan kaunter bergerak MPSP bagi memudahkan orang ramai membayar cukai taksiran. Apakah antara projek-projek MPSP yang dirancang selepas ini.

HAJI ROZALI : Dalam masa terdekat, MPSP telah merancang untuk melaksanakan ‘Performance Base Management System’ (bersama YDP). Sistem ini merangkumi aspek seperti mewujudkan ‘Standard Operating Procedures’ (SOP) dalam setiap aktiviti yang dijalankan, adanya tempoh masa dan mewujudkan ‘Key Performance Indicator’ (KPI). Di samping itu, MPSP juga akan melaksanakan sistem pemantauan menggunakan ‘Balance Score Card’. Kita juga meletakkan matlamat mencapai 30% bahan yang dikitar semula seperti yang disarankan oleh Y.B. Tuan Chow Kon Yeow, melaksanakan projek-projek pembangunan yang dirangka sepanjang Rancangan Malaysia ke-10 seperti Projek tebatan banjir dan menaiktaraf infrastruktur.

BM : Selain dari tugas sebagai Setiausaha Perbandaran, Tuan Haji juga dikatakan aktif dalam kerja-kerja amal seperti bersama mangsa-mangsa ribut dan banjir, juga terlibat dalam aktiviti di masjid-masjid. Adakah Tuan Haji seorang yang memang suka turun padang.

HAJI ROZALI : Latar belakang saya semasa kecil membentuk peribadi saya sekarang. Apabila saya pulang kerja jam 7.00 petang, penduduk kampung sudah menunggu di rumah untuk pengesahan buku sekolah, sijil-sijil, pengesahan dokumen untuk memohon kerja, pinjaman buku sekolah dan sebagainya. Di samping itu, saya juga berperanan menjadi saksi perkahwinan, mengesahkan status pasangan untuk tujuan perkahwinan dan lain-lain urusan qariah. Tugas-tugas berikut juga telah menjadi rutin sebahagian kehidupan saya iaitu Pengerusi Qariah Masjid Permatang Nibong, Pengerusi tanah perkuburan Qariah Permatang Nibong, Setiausaha Yayasan Pendidikan Anak-anak Yatim Pulau Pinang dan AJK Persatuan Ulama’ Pulau Pinang dan Seberang Perai.

BM : Apakah hobi Tuan Haji? Jika Tuan Haji suka membaca, boleh Tuan Haji kongsikan tajuk buku-buku motivasi yang dapat membantu kakitangan kerajaan khasnya.

HAJI ROZALI : Hobi saya kini hanya bekerja. Semasa remaja saya minat bermain ragbi, mendaki dan berkhemah tetapi sekarang hobi itu luput begitu saja. Mungkin kerana faktor usia yang semakin meningkat dan status saya sebagai suami dan bapa kepada lapan orang anak. Saya suka membaca buku-buku teknikal untuk menghasilkan penulisan kertas pembentangan. Motivasi saya perolehi dari kursus-kursus yang saya hadiri dan pengucapan awam khususnya daripada Ketua Menteri. Saya tidak pernah bercita-cita untuk memegang jawatan setinggi ini dan saya berkhidmat hanya kerana Allah S.W.T.