‘Durian Masters’ PP ke-2 hebat

 

BAYAN BARU – Satu fenomena yang mendebarkan telah berlaku semasa pertarungan akhir boling, ‘Durians Masters’ Pulau Pinang ke – 2 yang berlangsung di Premium Lanes, Bayan Baru, baru-baru ini.

Tiga peserta yang paling menonjol dan menunjukkan prestasi cemerlang adalah Ianky Tan Chien Nan dari Sabah dan dua orang bekas pemain boling kebangsaan iaitu Syimir Abdul Razak dan Afizal Azizan.

Pertandingan yang merangkumi enam siri perlawanan ini dipenuhi dengan detik-detik cemas dan mendebarkan apabila masing-masing menunjukkan ketangkasan dan kebolehan bermain boling.

Namun, semua detik cemas berakhir apabila Chien Nan dinobatkan sebagai juara, manakala Syimir menduduki tempat kedua dan Afizal mendapat tempat ketiga.

Kesemua mereka berkongsi hadiah berupa 300kg durian yang sangat berkualiti yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Ong Kok Fooi sambil ditemani Akbar Mustapha, Pengarah Taman Perbandaran dan Dr. Ong Shaw Feng, Timbalan Presiden Persatuan Boling Tenpin Pulau Pinang.

Majlis Hi-Tea Durian yang unik juga telah diadakan bagi meraikan semua peserta dan ahli keluarga masing-masing serta para penyokong.