GEORGE TOWN – Sekolah Sinar Harapan, Bukit Mertajam melakar sejarah tersendiri melalui penganjuran Sekolah Sinar Harapan Charity Art Exhibition yang menampilkan karya seni asli hasil kreativiti murid-murid berkeperluan khas.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai menyifatkan pameran tersebut sebagai satu pencapaian yang membanggakan buat sekolah berkenaan.
Menurutnya, pameran istimewa itu membawa mesej yang mendalam mengenai nilai inklusif, empati serta potensi tanpa batasan dalam kalangan kanak-kanak istimewa termasuk mereka yang mempunyai autisme, sindrom Down dan kelainan upaya akal yang lain.





“Sekolah Sinar Harapan bukan sekadar sebuah institusi pendidikan, sebaliknya berperanan sebagai ruang harapan yang membimbing murid-murid dengan penuh kesabaran, kasih sayang dan keyakinan bahawa setiap individu memiliki kelebihan tersendiri.
“Keistimewaan pameran ini adalah terletak pada hasil seni yang dipamerkan iaitu lukisan-lukisan asli yang sarat dengan ekspresi jiwa, imaginasi dan kejujuran perasaan murid-murid.
“Karya-karya yang dipamer ini membuktikan seni sebagai bahasa sejagat yang mampu merentas batas keupayaan dan komunikasi,” katanya ketika merasmikan pameran tersebut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dekat sini semalam.
Hadir sama, penggiat seni lukis, Dato’ Seri Rosli Jaafar; Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang, Haryany Mohamad dan Pengetua Sekolah Sinar Harapan, Sabirin Abu Bakar.
Hon Wai berkata penganjuran pameran tersebut juga selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri yang melihat seni dan budaya sebagai aset penting dalam pembangunan ekonomi kreatif, di samping memperkukuh nilai kemanusiaan, kepelbagaian dan keterangkuman sosial.
“Pameran seni amal ini diharap menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif seni inklusif pada masa hadapan serta membuka mata masyarakat untuk melihat keupayaan anak-anak berkeperluan khas dari sudut yang lebih positif dan berdaya saing.
“Terima kasih diucapkan kepada Dato’ Seri Rosli Jaafar kerana telah menyumbangkan kepakaran serta pengalaman beliau dalam membimbing murid-murid berkenaan.
“Sumbangan beliau bukan sahaja memperkukuh kemahiran seni, malah berjaya mencungkil bakat terpendam serta meningkatkan keyakinan diri murid-murid untuk berkarya dan menyumbang kepada masyarakat,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.
Sementara itu, Rosli berkata mendidik kanak-kanak istimewa memerlukan kaedah khusus supaya bakat mereka dalam bidang seni dapat digilap secara optimum.
“Kami cuba dedahkan anak-anak istimewa ini keoada dunia seni melalui kaedah yang bersesuaian dan mengikut rentak mereka.
“Kami harap penganjuran pameran ini dapat memberika inspirasi kepada mereka untuk terus berkarya dan menyumbang sesuatu kepada masyarakat,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Yang Dipertua DUN, Dato’ Seri Law Choo Kiang atas tajaan, sekali gus membantu melancarkan pameran tersebut.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS