Papan maklumat hadapi saat kecemasan dibina

Admin
MANSOR Othman (kiri sekali) bertepuk tangan sambil ditemani Mohd. Salleh Man (kanan sekali) pada Majlis Perasmian Papan Maklumat Kubang Semang, Sungai Semambu dan Mukim 5 di sini baru-baru ini.
MANSOR Othman (kiri sekali) bertepuk tangan sambil ditemani
Mohd. Salleh Man (kanan sekali) pada Majlis Perasmian Papan
Maklumat Kubang Semang, Sungai Semambu dan Mukim 5 di
sini baru-baru ini.

Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN

PERMATANG PAUH Bagi memantapkan penyaluran maklumat hingga ke akar umbi terutamanya dalam menjaga kebajikan rakyat, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif khas membina papan tanda meliputi kawasan kampung dan desa di sini baru-baru ini.

Inisiatif tersebut sekaligus dilihat dapat menyelesaikan kesulitan masyarakat setempat sekitar Kubang Semang, Sungai Semambu dan Mukim 5 di sini bagi mendapatkan bantuan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) berkaitan.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman berkata, semua inisiatif itu adalah demi memudahkan rakyat terutamanya ketika menghadapi saat-saat kecemasan.

“Kita (Kerajaan Negeri) telah bersetuju membina papan maklumat yang dicadangkan oleh pihak JKKK sebelum ini dengan menyalurkan sejumlah RM1,500 untuk projek berkenaan,” katanya pada Majlis Perasmian Papan Maklumat Kubang Semang, Sungai Semambu dan Mukim 5 di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti berkata, insiatif tersebut adalah ekoran waktu operasi JKKK yang bukan pada waktu pejabat.

“Ini kerana, sebahagian besar JKKK adalah golongan pekerja dan hanya mampu beroperasi selepas waktu pejabat,’’ katanya sambil menjelaskan bahawa papan tanda yang didirikan bakal menjadi mekanisme komunikasi alternatif bagi semua pihak.

Dalam pada itu, ADUN Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man dalam reaksi spontan memberitahu, inisiatif tersebut memberi manfaat kepada rakyat terbanyak di negeri ini.

“Kini, rakyat yang memerlukan bantuan boleh menghubungi JKKK pada bila-bila masa,’’ ujar beliau.