Parkir bertingkat Bkt. Bendera lengkap bersurau, premis niaga

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

AIR ITAM – Selain menyediakan 311 petak parkir, kompleks letak kereta tujuh tingkat Bukit Bendera juga bakal menempatkan premis-premis komersial, medan selera dan surau.

Selain itu, turut dilengkapkan adalah 171 petak parkir motosikal, gerai (6), kedai (4), tandas termasuk untuk golongan kurang upaya (OKU), perhentian bas, teksi, tanjakan OKU dan tangga keselamatan.

Pengurus projek Penang Hill Carpark bagi pihak Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Iskandar Basha Abdul Kadir berkata, keunikan kompleks tersebut adalah bertujuan memberi ruang rehat kepada para pengunjung selain di stesen bawah Bukit Bendera.

“Selain itu, ruang-ruang niaga turut membuka peluang kepada masyarakat tempatan berniaga bagi menambah pendapatan,’’ katanya pada sidang media di lokasi di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa kompleks berkenaan kini telah 65 peratus siap yang mana pembinaan lokasi tersebut kini memasuki fasa akhir dan dijangka bakal dibuka kepada kenderaan awam pada 31 Ogos ini iaitu sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

“Kini, ketujuh-tujuh tingkat bangunan ini telah siap sepenuhnya termasuk satu tingkat bawah tanah.

“Fasa berikutnya adalah memasang semua sistem-sistem utiliti seperti pendawaian dan perpaipan yang diperlukan bangunan ini,” ujarnya.

Selepas terpaksa dirobohkan daripada pembinaan asal ekoran saiz parkir dan laluan yang terlalu kecil, syarikat pembinaan Yuan Seng Building Trading Sdn. Bhd. telah memenangi tender terbuka yang dijalankan berhubung projek terbabit.

Kompleks bernilai RM11,491,073.90 tersebut dilihat dapat menjadi ssebuah kompleks letak kereta antara yang menarik di Pulau Pinang kerana menyediakan pelbagai kemudahan.