Dua sahabat usaha pastri tanam sikap tidak putus asa

Admin

 

DUA sahabat karib, Kartina Mamat (kanan) dan Hayati Md. Lazim.
DUA sahabat karib, Kartina Mamat (kanan) dan Hayati Md. Lazim.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Oleh : YAP LEE  YING

Gambar : IDZHAM AHMAD

 

IKATAN persahabatan yang terjalin sejak di bangku sekolah antara dua sahabat tidak terputus separuh jalan walaupun masing-masing membawa haluan hidup selepas tamat belajar.

 

Bagi Kartina Mamat, 40, selepas mengambil keputusan untuk berkecimpung dalam bidang perusahaan bakeri sepenuh masa, beliau yang ketika itu memerlukan seorang pembantu ‘boleh diharap’ teringatkan sahabat karibnya, Hayati Md. Lazim.

 

Ketika itu, Hayati atau lebih sinonim panggilan Yati adalah suri rumah sepenuh masa. Dikurniakan tiga cahaya mata, beliau terus bersetuju apabila dipelawa bagi membantu rakannya, Kartina dalam bidang berkenaan.

 

Perjalanan ke pusat pembuatan produk-produk bakeri dua sahabat tersebut terletak di lokasi agak pedalaman. Namun, perjalanan skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara dipermudahkan dengan pemandu arah yang juga pembantu kepada Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pinang Tunggal, Tasrin Tugemin.

 

Setibanya di lokasi, dua sahabat berkenaan sedang sibuk menyiapkan tempahan pizza bagi sebuah sekolah.

 

Satu demi satu pizza dibuat dan dibungkus rapi. Kelihatan enak sekali!

 

ANTARA produk pastri yang dihasilkan.
ANTARA produk pastri yang dihasilkan.

Menurut Kartina atau lebih mesra dengan panggilan Tina, beliau menumpukan sepenuh perhatian dalam perusahaan tersebut sejak tiga tahun lalu iaitu selepas berhenti bekerja di salah sebuah kilang berhampiran.

 

“Saya mengikuti kursus. Memang sebelum itu, saya tiada asas langsung dalam bidang ini, namun, demi minat, saya cuba buat berasaskan ilmu yang dipelajari dan ianya menjadi,’’ katanya yang mengusahakan perusahaan tersebut di Kampung Tok Bedu KADUN Pinang Tunggal, Seberang Perai Utara (SPU).

 

Mengulas lanjut, Tina menyatakan bahawa peralatan pembuatan produknya kini adalah hasil tinggalan arwah abangnya yang meninggal dunia ekoran terlibat dalam kemalangan.

 

“Arwah abang dulu buat (perusahaan) roti canai segera. Masa meninggal,  dia (arwah)  tak turunkan resipi kepada sesiapa pun.

 

“Daripada bengkel ini dibiarkan, saya gunakan untuk menjalankan perusahaan bakeri yang mana produknya kini telah dipelbagaikan kepada bun, kek dan juga biskut,’’ jelas Tina yang dikurniakan seorang cahaya mata.

 

Pada peringkat permulaan, Tina tidak menafikan bahawa beliau terpaksa mencari pasaran sendiri dengan mengadakan lawatan ke setiap sekolah berhampiran.

 

Bermula dengan 100 biji pizza (bersaiz kecil) sehari, kini, pengeluarannya mampu mencecah 300 biji bagi memenuhi permintaan pihak-pihak sekolah.

 

RUPA bentuk pizza bersaiz besar yang dihasilkan.
RUPA bentuk pizza bersaiz besar yang dihasilkan.

Pertambahan permintaan tersebut secara tidak langsung memperuntukkan beliau untuk berada di bengkel seawal 8 pagi dan hanya berakhir pada jam 3 petang setiap hari.

 

“Produk-produk yang diproses pada hari ini akan dihantar pada keesokan harinya.

 

“Bergantung kepada keadaan cuaca, tempoh tahan produk adalah selama tiga hari,’’ ujar beliau yang menyatakan bahawa keunikan produknya adalah ia tiada bahan pengawet dan sedap dengan keaslian rasanya.

 

Bagi Tina, cabaran utama dalam bidang tersebut adalah persaingan dan turut tidak dinafikan adalah sikap iri hati pihak-pihak ketiga yang secara tidak langsung menjejaskan pasaran beliau.

 

“Memang kecewa dengan sikap orang macam ni, namun, kita kena sabar, percaya dengan rezeki yang ada, yakin dan juga tanam semangat tidak putus asa,’’ jelasnya sambil tersenyum.

 

Sebagai perancangan masa depan, Tina menyatakan bahawa beliau ingin pergi ‘jauh’ lagi dalam bidang berkenaan.

 

Serentak itu, Yati turut mencelah bahawa beliau ingin mempelbagaikan lagi produk jualan kini.

 

“Saya ingin buat sesuatu (produk) yang mempunyai tempoh tahan lebih lama. Saya tengah mencari produk-produk sesuai dan meneliti kursus berkaitan.

 

“Pada masa sama, saya juga berharap dapat sediakan peluang kerja kepada ibu-ibu tinggal di kawasan berhampiran,’’ katanya yang turut memasarkan produk melalui laman Facebook, tinaminami.

 

Dalam tempoh terdekat, adalah menjadi harapan Tina untuk menghasilkan sendiri produk gula-gula yang mana ia menepati ciri-ciri perniagaan masa depan beliau.

 

“Saya kini hanya menunggu masa kawan untuk belajar buat gula-gula,’’ ujar Tina.

 

INFO :

Yusmina Enterprise

Kampung Tok Bedu,

Pinang Tunggal, SPU.

017 – 477 1298

FB : tinaminami