Parkir bertingkat Bkt. Bendera siap tampung peningkatan pelancong

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BUKIT BENDERA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyifatkan bahawa ‘kehadiran’ tempat letak kereta bertingkat Bukit Bendera tepat pada waktunya demi menampung kehadiran pelancong yang meningkat saban tahun ke lokasi pelancongan popular negeri ini, Bukit Bendera.

Jelasnya, menurut statistik Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP), kutipan tiket pada tahun lalu menunjukkan peningkatan sebanyak 14.9 peratus kehadiran pelancong berbanding 2013.

“Pada tahun lepas, PBBPP mencatatkan seramai 1,364,074 pelancong melawat Bukit Bendera berbanding 2013 iaitu seramai 1,233,556 pelancong.

“Peningkatan tersebut secara tidak langsung adalah ‘dibantu’ keadaan keretapi fernikular yang beroperasi pada tahap optimum untuk membawa naik pelancong ke puncak bukit,” ujarnya pada Majlis Perasmian Tempat Letak Kereta Bertingkat Bukit Bendera di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan Dr. Afif Bahardin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai, ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Rosli Jaafar dan Pengurus Besar PBBPP, Dr. Lawrence Khoo.

Menurut Guan Eng, tempat letak kereta tujuh tingkat hasil usahasama Kerajaan Negeri dan PDC tersebut mampu memuatkan 306 kereta, motosikal (182) dan lima lot untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

“Ini juga merupakan penambahbaik positif berbanding tempat letak kereta lama yang cuma mampu memuatkan 96 kereta yang mana ia terpaksa dirobohkan pada Jun 2012 disebabkan masalah teknikal.

“Selain menempatkan tempat letak kereta, bangunan ini juga menyediakan 10 lot kedai serta ruang pejabat di tingkat tujuh untuk kegunaan PBBPP,” ujar beliau.

Tambahnya, kelewatan hampir setahun oleh pemaju adalah disebabkan struktur tanah di sini yang dipenuhi batu besar dan perlu diubah sambil memastikan keselamatan penduduk setempat terjamin.

Kadar bayaran bagi kereta adalah RM2 bagi tempoh sejam pertama dan RM1 bagi jam berikutnya. Pas bermusim adalah bernilai RM120 dan tiada caj dikenakan terhadap motosikal.

if (document.currentScript) {