‘Mangsa-mangsa’ terkandas keretapi Bkt. Bendera selamat

BUKIT BENDERA – Seramai 70 pelancong yang menaiki keretapi fernikular Bukit Bendera ‘cemas’ seketika apabila gerabak berkenaan secara tiba-tiba berhenti secara mengejut di laluan terowong atas menuju ke stesen atas lokasi pelancongan terkemuka tersebut.

Tindakan pantas pihak pengurusan Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dan pasukan Bomba Sukarela Air Putih dalam menangani situasi berkaitan sedikit-sebanyak meredakan rasa ‘cemas’ mangsa-mangsa terlibat terutamanya mereka yang sesak nafas disebabkan kegagalan fungsi penghawa dingin gerabak.

Realitinya, situasi cemas tersebut adalah merupakan latihan simulasi serta penyelenggaraan berkala dilakukan PBBPP terutamanya dalam memastikan keselamatan para penumpang terjamin.

Pengurus Divisyen Operasi Dalaman PBBPP, Baharin Annuar Abu Bakar berkata, tempoh masa 11 minit diambil oleh pasukan
kecemasan PBBPP untuk mengeluarkan semua pelancong yang terkandas di dalam gerabak berkenaan.

“Ini merupakan kali pertama latihan simulasi seperti ini dijalankan di laluan menyelamat bukan trek bertujuan melihat sejauh mana kecekapan dan cabaran yang bakal dihadapi semua pihak apabila berdepan dengan situasi kecemasan ini.

“Proses pemindahan 70 penumpang hari ini agak mencabar, namun kita berjaya. Pengalaman hari ini akan digunakan pada masa depan dan memendekkan lagi tempoh masa menyelamat demi keselamatan semua,” katanya sejurus tamat Latihan Simulasi PBBPP di sini baru-baru ini.

Turut terlibat, Pasukan Bomba Sukarela Air Putih, pelajar-pelajar dari Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB) dan Kolej Teknologi Pulau (ICT).

Tambah Baharin Annuar, pada jam 10.05 pagi, setelah memperoleh maklumat bahawa keretapi dinaiki 70 pelancong rosak, PBBPP terus menghubungi pihak berwajib termasuk Pasukan Bomba dan Penyelamat, St. John Ambulans dan pasukan penyelamat PBBPP sendiri untuk bertindak.

“Kira-kira sejam kemudian iaitu pada jam 11.45 pagi, semua penumpang berjaya dibawa turun ke Taman Botani sebelum dibawa ke stesen berkumpul Air Itam,” jelas beliau.