Parkir bertingkat Bkt. Bendera tangguh, jangka dibuka Feb. depan

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: SHUM JIAN WEI

BUKIT BENDERA – Pengurus Besar Penang Development Corporation Consultancy Sdn. Bhd. (PDCC), Ir. Hartini Ali tampil menjelaskan bahawa kelewatan projek pembinaan parkir bertingkat Bukit Bendera adalah disebabkan faktor cuaca dan beberapa masalah teknikal.

Menurut Hartini yang juga Timbalan Ketua Pengurus II Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menyatakan bahawa projek yang dilaksanakan sejak tahun 2012 itu berhadapan beberapa masalah di lokasi pembinaan sehingga menyebabkan ia gagal untuk disiapkan mengikut jadual.

“Antaranya, pengaruh cuaca yang tidak menentu, hujan dan juga beberapa perubahan reka bentuk bangunan semasa kerja menanam cerucuk micropile yang kemudiannya ditukar kepada RC spun pile.

“Buat masa sekarang, projek ini dipantau dengan teliti setiap hari dan kami (PDCC) menjangkakan projek itu akan siap sepenuhnya pada akhir Oktober ini serta akan dibuka untuk kegunaan orang ramai menjelang Tahun Baru Cina atau bulan Februari tahun hadapan.

“Sekiranya projek tersebut masih gagal untuk disiapkan, pihak kami (PDCC) akan mengenakan denda sebanyak RM5,000 sehari kepada kontraktor bertanggungjawab dan jika masih gagal, kami (PDCC) mempunyai hak untuk menukar kontraktor,” katanya dala sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah PDCC merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee, Ketua Pegawai Operasi PDCC, Tan Choon Jin dan Ketua Jurutera, Ir. Ismail Ishak.

Lanjutan dari kelewatan perjalanan projek, Ismail ketika diajukan pertanyaan berkata, pihaknya telah mengenakan kelulusan lanjutan masa atau extension of time (EOT) sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada 31 Mei dan 25 September lalu.

“Sehingga kini, kerja-kerja pembinaan telah siap 75 peratus berdasarkan perancangan kemajuan kerja pembinaan, CPM (Critical Path Method) yang disediakan oleh kontraktor.

“Selepas siap, tempoh tiga bulan diperlukan untuk mendapat Perakuan Siap dan Pematuhan atau CCC (Certificate of Completion and Compliance),” jelas beliau.

Projek kontroversi dibiayai Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pelancongan mula dibina pada 2011 dengan kos permulaan RM5 juta tetapi dirobohkan dan dibina semula dengan kos pembinaan sehingga RM11 juta.