Pemaju pohon tempoh 3 bulan ambil tindakan wajar bangunan warisan – Exco

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Pemaju berkaitan melalui suratnya kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) baru-baru ini memohon tempoh sekitar tiga bulan bagi mengambil tindakan sewajarnya ke atas bangunan warisan dan bangunan-bangunan di atas tapak premis No. 40, Jalan Sultan Ahmad Shah, di atas Lot 132 & 133, Sek. 14, Daerah Timur Laut di sini.

Respon tersebut diberikan setelah MPPP mengeluarkan notis kacauganggu kepada pemunya tanah/bangunan agar melindungi bangunan warisan kategori dua tersebut daripada terus rosak.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, berdasarkan surat yang dikemukakan, pemunya bangunan/tanah telah mengambil perhatian berhubung keadaan semasa bangunan warisan tersebut dan pihaknya sedang mengambil tindakan bagi menyelaraskan projek pembangunan baru di atas tapak tersebut.

“Mereka (pemaju berkaitan) telah mengemukakan permohonan memasang pagar keselamatan dalam tempoh satu hingga tiga bulan.

“Bersetuju membersihkan kawasan tapak dalam tempoh dua minggu dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas bangunan warisan dan bangunan-bangunan lain di atas tapak yang menimbulkan kesan buruk dan kacauganggu itu,” ujarnya pada sidang media khas bagi mengulas lanjut isu bangunan berkenaan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Warisan MPPP, Noorhanis Noordin.

Bangunan warisan di tapak tersebut dahulunya merupakan Markas 2 Division, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum ia ditinggalkan terbiar.

Melalui pemeriksaan tapak yang dijalankan MPPP pada Ogos lalu, didapati bangunan tiga tingkat bersenibinakan Neo Clasical berusia hampir 100 tahun tersebut berada dalam keadaan yang amat usang, tidak dihuni dan terbiar dengan struktur kemasan bangunan telah tertanggal.

Menurut Kon Yeow, semakan susulan di tapak oleh MPPP mendapati kerja-kerja tersebut masih belum dijalankan pihak pemaju.

“Mengikut prosedur, sekiranya keadaan sesuatu bangunan usang itu berterusan, tindakan perundangan yang seterusnya boleh diambil dengan mengadakan sesi siasatan (inquiry) di Mesyuarat Majlis sebelum notis selanjutnya dikeluarkan.

“Kita (Majlis) berharap mereka memenuhi janji sepertimana surat yang diberikan sebelum mengemukakan apa-apa pelan pembangunan,” ujar beliau.