Pasar Awam Batu Lanchang mesra OKU

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BATU LANCHANG – Hasil inisiatif Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dengan peruntukan sebanyak RM1.167 juta, Pasar Awam dan Dewan Orang Ramai Batu Lanchang kini lebih mesra orang kurang upaya (OKU).

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas & Tebatan Banjir berkata, mesra OKU yang dimaksudkan adalah inisiatif khas MPPP mewujudkan lif, laluan tanjakan (ramp) untuk kerusi roda serta tandas mesra OKU khas untuk golongan berkenaan.

“ Penaik tarafan ini merangkumi dua lif baru serta tanjakan bagi memudahkan OKU yang berkerusi roda menggunakan tandas dengan lebih selamat dan selesa.

“Kemudahan lain yang bakal dinaiktaraf dalam tempoh terdekat adalah sistem parkir dan dewan yang mana kosnya turut termasuk dalam jumlah keseluruhan RM1.167 juta,’’ ujarnya pada Majlis Perasmian Kemudahan-kemudahan OKU Pasar Awam dan Dewan Orang Ramai Batu Lanchang di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail serta Exco Pembangunan Pelancongan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang, Law Heng Kiang.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu, MPPP kini sedang merancang untuk menggantikan parkir sedia ada iaitu sistem
bertiket berdasarkan jam kepada sistem berkupon yang digunakan di seluruh bahagian pulau negeri sekarang.

“Dalam masa dua bulan, dewan orang ramai akan dinaiktaraf dengan sistem penghawa dingin termasuk sebuah gelanggang futsal yang bakal ditempatkan di bahagian belakang bangunan ini,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan OKU Pulau Pinang, Teh Lay Khuan menyatakan bahawa sebelum ini beliau kerap mendapat undangan majlis di sini, namun terpaksa menolak (jemputan) ekoran kemudahan mesra OKU yang kurang di sini.

“Penaiktarafan ini sangat baik.

“Selepas ini, mudah bagi orang-orang seperti saya untuk hadir majlis-majlis yang diadakan di sini,” ujarnya riang.