Bantuan ringan beban kebakaran rumah anak yatim

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

AIR ITAM – Rumah Kebajikan Anakanak Yatim Islam Pulau Pinang di sini menerima sumbangan bantuan kilat kebakaran sebanyak RM2,000 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai baru-baru ini.

Hon Wai yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri tampil menghulurkan bantuan segera daripada peruntukan kawasannya selepas ruang simpanan makanan dan keperluan harian rumah kebajikan terbabit musnah dalam kejadian kebakaran baru-baru ini.

Hon Wai ketika hadir menyampaikan cek berkata, bantuan kilat tersebut adalah bagi membantu dan meringankan beban kos membaik pulih kemusnahan tersebut.

“Saya bersyukur kerana tiada kemalangan atau kehilangan nyawa berlaku walaupun pada dasarnya, stor menyimpan segala keperluan makanan dan barang keperluan harian terbabit musnah dalam kebakaran,” ujarnya ketika hadir menyampaikan cek sumbangan di Rumah Kebajikan Anakanak Yatim Islam Pulau Pinang di Air Itam baru-baru ini di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Rumah Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Pulau Pinang terbabit, Datuk Azmi Merican, Penyelia, Hassan Samad dan salah seorang penghuni rumah kebajikan, Adli Johar yang merupakan saksi kejadian kebakaran terbabit.

Rumah kebajikan berusia lebih 50 tahun berkenaan merupakan wisma anak yatim yang pertama dibuka di Malaya oleh Tunku Abdul Rahman selaku Ketua Menteri Persekutuan pada tahun 1956.

Lazimnya, terdapat kira-kira 30 orang anak yatim lelaki menghuni di rumah kebajikan terbabit.

Hon Wai dalam pada itu menyeru orang ramai yang prihatin tampil menghulurkan sumbangan ikhlas.

Sebarang pertanyaan atau bantuan sila hubungi talian 04 – 828 8897.