Pasar Chowrasta, pasar pertama di Malaysia terima pengiktirafan GBI

Admin

GEORGE TOWN – Pasar Chowrasta, di sini menjadi pasar pertama dalam negara yang menerima pengiktirafan melalui Pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI).

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu perkara itu kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke pasar berkenaan, pagi ini.

Kanopi di sepanjang ruangan pejalan kaki Pasar Chowrasta bakal dilengkapi dengan sistem panel solar.

Menurut Jagdeep, pencapaian tersebut adalah selaras dengan pelaksanaan agenda hijau yang diperkenalkan Kerajaan Negeri dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri hijau, sihat dan selamat.

“Lawatan hari ini adalah untuk melihat status pemasangan kanopi yang mana saya diberitahu telah siap sepenuhnya pada Jun lalu dengan kos berjumlah RM2.5 juta melalui peruntukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Seterusnya, pihak MBPP akan meneruskan projek pemasangan panel solar di atas kanopi-kanopi ini dengan kos kira-kira RM180,000,” jelasnya lagi.

Turut sama dalam lawatan itu, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali serta Ahli-Ahli Majlis bagi MBPP.

Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan, selain memberikan manfaat kepada peniaga, pemasangan panel solar juga mampu menjimatkan perbelanjaan bil elektrik sehingga RM3,000 sebulan yang ditanggung oleh MBPP.

Jagdeep Singh Deo menunjukkan ilustrasi pemasangan panel solar.

“Kita (Kerajaan Negeri) yakin dalam tempoh lima tahun kos pemasangan dapat diselesaikan melalui penjimatan tersebut.

“Justeru, saya juga memohon pertimbangan pihak MBPP dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk memasang panel solar di kemudahan-kemudahan awam, pasar dan bangunan milik Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Tung Seang memberitahu bahawa sebanyak 110 unit panel solar akan di pasang di pasar berkenaan dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober ini.

“Kita (MBPP) juga sedang meneliti lebih banyak lagi projek pelaksanaan bangunan hijau yang mana setakat ini 51 lokasi telahpun dikenal pasti untuk pemasangan sistem panel solar,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD