GEORGE TOWN – Ketibaan pengembara dari India melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) bagi tempoh Januari hingga Mac Mac tahun ini adalah seramai 5,045 orang berbanding tempoh sama tahun lepas (2,417 orang), dengan peningkatan kira-kira 108.73 peratus.
Berdasarkan angka peningkatan tersebut, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri menerusi Penang Convention and Exhibition Bureau (PICEB) selama ini telah menunjukkan hasil pada pengembangan pada sektor berkaitan di Pulau Pinang.
”Peningkatan ini memberi petanda yang baik dan Kerajaan Negeri yakin dengan lebih banyak insentif yang bakal dijalankan hingga hujung tahun ini, akan memberi peningkatan yang lebih baik,” jelasnya dalam Sesi Soalan Lisan, Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 21 Mei 2025.
Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong itu lagi, sejak penerbangan terus dari Chennai, India ke Pulau Pinang melalui Indigo Airlines dilancarkan pada 21 Disember 2024, ketibaan pelawat dari negara itu di LTAPP berada pada kedudukan lapan tertinggi, berbanding sebelumnya di tangga ke-10 pada tahun 2023 dan 2024.
Menjawab soalan yang dibangkitkan oleh ADUN Bagan Dalam, K. Kumaran, Hon Wai berkata Kerajaan Negeri hari ini menerusi PICEB akan terus merancang pelbagai strategi untuk meneroka pasaran pelancongan dari India, termasuk rundingan dan saling kerja sama dengan agensi komersial dari negara tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS