Pasembur kini warisan Pulau Pinang, bukti kejayaan perniagaan warisan diiktiraf Kerajaan Negeri – Ketua Menteri

Admin
e3dcedc3 6051 4b77 aff9 45ae64e23eef KETUA Menteri menyerahkan sampul sumbangan bantuan raya kepada salah seorang penerima terpilih sambil disaksikan oleh beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain, semasa Majlis Bantuan Hari Raya Aidilfitri dan Majlis Berbuka Puasa Gani Famous Pasembur Tahun 2026 di Dewan UMA, Jalan Transfer dekat sini pada 12 Mac 2026.

GEORGETOWN – Kerajaan Negeri pada Januari 2026 telah meluluskan Warta Perisytiharan Negeri bagi 10 makanan tradisional dan enam item warisan kebudayaan tidak ketara untuk diisytiharkan sebagai Warisan Negeri, dan ianya termasuk pasembur.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pengiktirafan tersebut bukan sahaja memberi penghormatan kepada para pengusaha tempatan, malah sekali gus memastikan makanan tradisi lokal terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut memuji Gani Famous Pasembur sebagai contoh kejayaan perniagaan makanan warisan Pulau Pinang.

“Gani Famous Pasembur merupakan antara contoh kejayaan perniagaan makanan warisan Pulau Pinang.

“Perniagaan (Gani Famous Pasembur) yang kini diwarisi oleh generasi ketiga ini membuktikan komitmen tinggi dalam mengekalkan keaslian serta kualiti makanan tradisi yang menjadi kebanggaan negeri kita,” jelasnya semasa berucap dalam Majlis Bantuan Hari Raya Aidilfitri dan Majlis Berbuka Puasa Gani Famous Pasembur Tahun 2026 di Dewan UMA, Jalan Transfer dekat sini sebentar tadi.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut memuji usaha pihak Gani Famous Pasembur menyampaikan bantuan Aidilfitri kepada 250 asnaf serta lima pusat tahfiz sekitar daerah Timur Laut dan Barat Daya.

“Saya percaya sumbangan bantuan seperti ini bukan sahaja meringankan beban penerima menjelang Aidilfitri, malah juga memberi kegembiraan dan harapan kepada mereka untuk menyambut Syawal dengan lebih sempurna,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memberitahu bahawa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Pulau Pinang kini dihubungkan dengan 36 laluan penerbangan antarabangsa secara terus, yang mana ia sekali gus mengukuhkan kendurikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan utama serantau.

Pengarah Urusan Gani Famous Pasembur, Jamil Kader Gani turut berucap sebelum itu.

Hadir sama, Presiden Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (MAMSB), Dato’ Seri Jajakhan Kader Gani; Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Seri Haja Najmudeen Kader; Timbalan Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Dr. Shahul Hameed Syed Mohamed; Penaung Persatuan Kebajikan Warisan Lebih Tamil, Azmin Seni Mohamed dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil, Mohamed Asri Seni Mohamed.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD