Pasukan Karate-Do ungguli Majlis Anugerah Sukan Negeri 2013

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: SHUM JIAN WEI 

GEORGE TOWN – Pemain Badminton Kebangsaan, Datuk Lee Chong Wei sekali lagi dianugerahkan Anugerah Perdana Piala Tuan Yang Terutama (TYT) buat kali ke-empat pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Pulau Pinang 2013 di sini baru-baru ini.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita Keluarga dan Komuniti, Chong Eng berkata, 2013 merupakan tahun sungguh bermakna kepada Chong Wei kerana beliau berjaya mengatasi rekod lagenda badminton era Malaya, Wong Peng Soon dengan mengungguli sembilan kejuaraan kejohanan Terbuka Malaysia.

“Pemain nombor satu dunia selama 71 bulan ini disanjung tinggi oleh peminat badminton tanah air. Beliau telah muncul sebagai juara Terbuka Malaysia pada tahun 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011 dan 2012.

“Pada tahun 2013, beliau mencapai rekod kejuaraan kesembilan selain memenangi beberapa kejohanan Super Series di dalam dan luar negara,” ujarnya pada Majlis Anugerah Sukan Pulau Pinang 2013 di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Law Choo Kiang, Pegawai  Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait dan Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Datuk Ong Poh Eng.

Anugerah Perdana Piala TYT telah diperkenalkan sejak tahun 2004 sebagai penghargaan kepada atlet negeri yang berentap cemerlang di persada sukan negara dan antarabangsa.

Selain Chong Wei, Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang turut memuji Ratu Skuasy Negara juga juara dunia sebanyak tujuh  kali, Datuk Nicol Ann David yang menjadi saingan Chong Wei untuk anugerah berkenaan.

Berucap lanjut, beliau turut mengucapkan tahniah kepada para atlet kelahiran Pulau Pinang yang berentap cemerlang dan berjaya menyumbangkan tiga pingat Emas, Perak (4) dan Gangsa (7) kepada kontinjen negara daripada jumlah keseluruhan pungutan pingat iaitu lima Emas, Perak (14) dan Gangsa (14) pada kejohanan Sukan Asia Incheon, Korea Selatan yang berlangsung pada tempoh 19 September hingga 4 Oktober lalu.

“Angka ini menunjukkan sukan di negeri ini adalah selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri dalam membentuk Pulau Pinang ke arah pencapaian bertaraf antarabangsa.

“Barisan atlet, jurulatih, bekas-bekas atlet, pemimpin, pentadbir dan pegawai disaran bersama-sama Kerajaan Negeri meningkatkan mutu sukan negeri di samping menyemarakkan kegemilangan serta sinar sukan di negeri ini,” seru beliau.

Turut menerima pengiktirafan adalah Lim Chee Jin, atlet Karate- Do yang menerima anugerah Tokoh Pemimpin Sukan 2013; Jurulatih Terbaik (Lim Lee Lee, Karate-Do); Pasukan Wanita Terbaik (Karate-Do Wanita); Pasukan Lelaki Terbaik (Karate- Do Lelaki); Olahragawan (Chong Wei, Badminton); Olahragawati (Nicol, Skuasy); Olahragawan Harapan (Alwyn Tan Yean Yang, Renang) dan Olahragawati Harapan (G. Vanesa Raj, Skuasy).

Tiada pemenang bagi Kategori Paralimpik.