Manfaat biasiswa buru kecemerlangan SPM – Afif

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

SEBERANG JAYA – Seramai 150 pelajar yang terpilih dari lima sekolah sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bertam menerima sumbangan RM107,280 Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dalam ucapannya berkata, semua penerima terpilih diharap memanfaatkan sebaik mungkin bantuan pendidikan tersebut demi memburu kecemerlangan dalam pelajaran masing-masing.

“Itu cabaran kepada kita (murid) kerana Kerajaan Negeri fokus mahu pelajar-pelajar di negeri ini dapat keputusan cemerlang,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada Majlis Sumbangan Biasiswa Kecil Negeri Peringkat KADUN Bertam di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Abdul Jalil Che Ros di Auditorium Kompleks Ibu Pejabat MPSP Bandar Perda di  sini.

Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Bertam, Asrol Sani Abd. Razak turut hadir pada majlis tersebut.

Difahamkan, seramai 22 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Kadir menerima sumbangan biasiswa sebanyak RM16,560, diikuti, SMK Datuk Haji Ahmad Badawi (36, RM25,320), Sekolah Menengah Agama Daeratul Maarifil Wataniah (12, RM8,640), SMK Kepala Batas (35, RM24,600), dan SMK Gemilang (45, RM32,160).