Pasukan khas pantau tapak pembinaan elak banjir lumpur – Exco

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas & Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri bakal menubuhkan pasukan petugas khas bagi memantau tapak-tapak pembinaan demi mengelak kejadian banjir lumpur di negeri ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa pasukan berkaitan akan memantau serta memeriksa tapak-tapak pembinaan dari semasa ke semasa bagi memastikan sama ada pemaju dan kontraktor mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa atau sebaliknya.

“Kami (pasukan petugas khas) akan memeriksa aliran air hujan, saliran di tapak pembinaan dan sebagainya sepanjang tempoh pembinaan,’’ katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman penganjuran Earth Hour 2016 di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian banjir kilat yang melanda Daerah Barat Daya baru-baru ini, antaranya di Bayan Baru, Bayan Lepas dan Teluk Kumbar ekoran catatan 80 milimeter hujan dalam tempoh 30 minit.

Turut hadir, Pengurus World Wide Fund (WWF) Malaysia, Dr. Sundari Ramakrishna.

Sementara itu, Sundari menyatakan bahawa WWF mengumumkan lebih dari 125 bandar atau negeri di seluruh dunia dipilih untuk mengambil bahagian dalam 2016 Earth Hour City Challenge (EHCC).

“Di Malaysia, bandar-bandar atau negeri yang terpilih adalah Pulau Pinang, Petaling Jaya, Melaka dan Kuching Utara berasaskan komitmen dan peranan masing-masing dalam memimpin pemuliharaan alam sekitar terhadap bumi pada masa hadapan,’’ jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, ‘cabaran’ tersebut diwujud bagi meraikan inisiatif khas bandar atau negeri berkaitan ke arah sebuah lokasi dan kehidupan yang lebih hijau, bersih serta mampan untuk didiami dan secara tidak langsung memberi inspirasi kepada yang lain untuk melakukan perkara sama.

“Bandar-bandar dan negeri-negeri ini akan dinilai dari segi pembangunan, pengangkutan, tenaga dan kitaran makanan oleh panel-panel khas yang dilantik,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, Sundari turut memuji inisiatif Kerajaan Negeri ekoran kejayaan menanam 60 spesies tumbuhan terancam pada tahun 2014 bagi membangunkan pelan pengurangan karbon di negeri ini.

Sambutan Earth Hour 2016 akan diadakan pada 19 Mac 2016, jam 8.30 malam. Selain acara utama, turut diadakan adalah acara berjalan kaki sejauh 3.5 kilometer.

Bagi mereka yang berminat, yuran pendaftaran sebanyak RM65 akan dikenakan.

Layari www.pandashop.my/ earthhour2016 bagi maklumat lanjut.

Earth Hour adalah satu inisiatif global alam sekitar yang bermula pada 2007 di Sydney, Australia dengan penyertaan 2.2 juta individu serta lebih 2,000 perniagaan memadamkan lampu masing-masing selama satu jam dari jam 8.30 malam sebagai mengambil bahagian terhadap perubahan iklim global.

Bermula tahun 2009, Pulau Pinang tidak pernah ketinggalan menyertai kempen kesedaran pemuliharaan bumi dan penjimatan tenaga. Earth Hour turut disambut hampir 7,000 bandaraya melibatkan 162 negara di seluruh dunia.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);