Dasar Pengasingan Sisa Di Punca, pendekatan ‘mesra’ bentuk kesedaran

GEORGE TOWN – Pada tempoh permulaan ke arah pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca yang bakal dikuatkuasakan pada 1 Jun 2016, Kerajaan Negeri bakal menggunakan pendekatan yang mudah dan ‘mesra’ rakyat.

Kenyataan tersebut dinyatakan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow pada penganjuran Penang Green Forum for Community 2015 di sini baru-baru ini.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut (permulaan), bahan-bahan yang perlu dimasukkan ke dalam beg berasingan adalah sisa-sisa dapur jenis organik dan bahan boleh dikitar semula.

“Pendekatan ini adalah untuk memudahkan seluruh rakyat Pulau Pinang dan diharap apabila terbentuknya kesedaran, ia mampu memperoleh kerjasama penuh daripada masyarakat umum berhubung inisiatif berkaitan,’’ ujarnya.

Hadir sama, Pengarah Khidmat Pengurusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Mohamed Akbar Mustapha, Pengarah Perkhidmatan Perbandaran MBPP, Mubarak Junus dan ahli-ahli majlis MBPP.

Forum yang julung kalinya dianjurkan oleh MBPP tersebut adalah menyasarkan penyertaan ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di bahagian pulau sebagai pendedahan awal terhadap Dasar Pengasingan Sisa di Punca yang bakal dilaksanakan kelak.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota memberitahu bahawa Pulau Pinang menghasilkan kira-kira 1,700 tan sampah setiap hari.

“Nisbahnya adalah bersamaan dengan 1.1 kilogram (kg) setiap orang, setiap hari.

“Jumlah tan sampah ini dapat dikurangkan sekiranya amalan pengasingan sampah mampu dibudayakan, yang secara tidak langsung bakal membabitkan penjimatan berjuta-juta ringgit (RM) oleh pihak Majlis,’’ jelas beliau.