Patuhi syarat Akta 852, akan kuat kuasa selepas 30 September – Exco

Admin
f43d1b08 c376 4b2c 8600 b37daa0d8822

BUKIT TAMBUN –  Pemilik premis perniagaan di Pulau Pinang diberi tempoh sehingga 30 September depan agar mematuhi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sebelum ia dikuatkuasakan selepas tarikh tersebut.

Menurut Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, berdasarkan pemantauan melalui dan pemeriksaan yang diadakan, masih terdapat premis yang belum mengikuti syarat ditetapkan oleh Akta 852.

“Kalau boleh kira tidak mahu sampai tahap keluarkan kompaun kerana tujuan kita sebenarnya bukan nak sangat keluarkan kompaun, lebih kepada mendidik.

“Kita berharap semua pihak dapat memainkan tanggungjawab bersama untuk mematuhi akta ini.

“Sekarang masih ada masa sehingga 30 September ini. Berdasarkan pemantauan ada premis ambil inisiatif melekat notis terkini termasuk tidak menjual rokok elektronik, namun masih ada tidak patuh.

“Proses memberi pendidikan masih berjalan dan peniaga mempunyai masa yang cukup untuk pastikan usaha kita mewujudkan persekitaran tanpa asap rokok dapat dijayakan,” ujarnya pada program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) dan Operasi Mega Bersepadu Akta 852 di sekitar Bandar Cassia, di sini, pagi tadi.

06f6cf8a fa91 421b 971f c730ca43a322

Melalui akta tersebut pendaftaran setiap produk merokok, kawalan ketat akan dikenakan di kaunter jualan, selain itu, setiap premis wajib mempamerkan tanda amaran larangan merokok dan larangan penjualan produk merokok kepada orang belum dewasa (OBD).

bf957e1b 9bce 459a 9f6d 87ebe282012e

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dato’ Dr. Fazilah Shaik Allaudin; Timbalan Pengarah Kesihatan Awam Negeri, Dr. Rozaini Mat Shah dan Pengarah Urusan Nasmir Holding Sdn. Bhd., Dato’ Kadhar Shah Abdul Razak.

Zi Sen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang memberitahu, sehingga 5 Ogos sejumlah 2,647 kompaun dikeluarkan bagi kesalahan merokok di premis makanan, manakala 137 notis dikeluarkan kepada pemilik premis bagi kesalahan tiada tanda amaran merokok di premis.

Dalam operasi hari ini, sebanyak 26 premis makanan diperiksa dengan 24 mendapat pengiktirafan ‘Bersih dan Selamat’ (BeSS).

ecb157e9 109f 439e b3bf 7c9e73323dab

Sebelum itu, Zi Sen bersama Fazilah turut melakukan program advokasi berhubung Akta 852 terhadap peniaga makanan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bandar Cassia.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR