Noor Inayah, Lingeshwaran dilantik Ahli Dewan Negara, perkukuh suara Pulau Pinang peringkat Persekutuan

Admin
6517e0f3 200a 4c79 a40f cbace3573ac4

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menamakan dua individu iaitu Dato’ Seri Profesor Dr. Noor Inayah Ya’akub, 57, dan Dr. Lingeshwaran Dato’ Seri R. Arunasalam, 39, sebagai Ahli Dewan Negara, menggantikan Ahli Dewan Negara yang telah tamat tempoh perkhidmatan masing-masing.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeo berkata, cadangan tersebut dibuat dengan mengambil kira keperluan untuk memastikan suara Pulau Pinang di peringkat Persekutuan terus diperkukuhkan.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan usul di bawah Perkara 45(1)(a) Perlembagaan Persekutuan bagi menamakan dua (2) individu berwibawa sebagai Ahli Dewan Negara bagi tempoh tiga tahun pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini sebentar tadi.

“Noor Inayah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Methodist, Nibong Tebal dan Sekolah Menengah Kebangsaa Agama Al-Irsyad, sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, serta berjaya memperoleh dua Ijazah Sarjana Muda Kepujian iaitu LLB (Hons.) serta LLB Syariah (Hons.).

“Kecemerlangan akademik beliau diteruskan melalui pengajian Sarjana Undang-Undang di University of Bristol, dan seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalambidang Undang-Undang dari University of Manchester, United Kingdom.

“Sepanjang kerjaya beliau, Dato’ Seri Profesor Dr. Noor Inayah telah diberikan kepercayaan memegang pelbagai jawatan penting di peringkat pendidikan  tinggi dan institusi strategik negara, antaranya sebagai Presiden dan Naib Canselor Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL), Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta Profesor Undang-Undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Profesor Pelawat di beberapa universiti dalam dan luar negara,” ujarnya lanjut.

Tambah Kon Yeow, kepakaran Noor Inayah turut mendapat pengiktirafan meluas apabila dilantik menganggotai pelbagai institusi penting termasuk Bank Islam Malaysia Berhad, Amanah Raya Berhad, Yayasan Wakaf Malaysia serta pernah berkhidmat sebagai Penasihat Syariah kepada beberapa institusi kewanganutama negara.

“Di peringkat negeri pula, beliau menjadi satu-satunya wanita yang dilantik menganggotai Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang serta turut memainkan peranan penting Yayasan Pendidikan Islam Pulau Pinang, Penang Halal International dan pelbagai institusi pembangunan masyarakat Islam,” tambahnya.

Sementara itu, Lingeshwaran disifatkan seorang tokoh profesional kesihatan dan pemimpin masyarakat yang aktif memperjuangkan kebajikan rakyat serta pembangunan negeri Pulau Pinang.

“Beliau menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perubatandan Pembedahan (MBBS) pada tahun 2011 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Undang-Undang(Undang-Undang Penjagaan Kesihatan dan Perubatan) di Universiti Taylor’s pada tahun 2018.

“Seterusnya memperoleh Sarjana Pengurusan Kesihatan dan Kepimpinandaripada University of New South Wales, Australia pada tahun 2022.

“Dalam sektor kesihatan awam, beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Hospital Sungai Bakap di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dilantik sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal pertama pada tahun 2023,” maklum Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Ahli Dewan Negara dari Mac 2023 hingga Mac 2026, Lingeshwaran telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memperjuangkan pelbagai isu berkaitan khasnya kesihatan awam, kebajikan warga perubatan, pendidikan serta pembangunan negeri di peringkat Parlimen.

Beliau juga aktif mewakili negara ke forum antarabangsa termasuk Asia Pacific Parliamentary Forum, dan diberi penghormatan menyampaikan ucapan negara berkaitan kerjasama serantau, pembangunan mampan dan ketahananinstitusi kesihatan.

“Di peringkat negeri pula, beliau turut memainkan peranan penting sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu (HEB) Negeri Pulau Pinang serta Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sekolah-Sekolah Tamil Pulau Pinang sejaktahun 2023, selain aktif dalam pelbagai program kebajikandan pembangunan komuniti.

“Pelantikan mereka bukan sekadar memenuhi keperluan perjawatan, tetapi merupakan satu langkah penting dalam memastikan Pulau Pinang terus diwakili oleh individu yang berintegriti, progresif dan mampu menyumbang kepada pembentukan dasar negara secara matang dan konstruktif,” ulasnya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN