GEORGE TOWN: Pasukan Penang FC melakar kemengangan manis 2-1 mengatasi DPMM FC bagi saingan penutup MFL Liga Super 2025/2026 di Stadium Bandaraya petang tadi.
DPMM FC terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-41 menerusi jaringan Jordan Murray.
Bermula babak kedua, Penang FC dilihat beraksi lebih pantas dan gol moral pasukan hadir pada minit ke-58 melalui rembatan deras luar kotak penalti penyerang sensasi Dylan Wenzel-Halls menewaskn penjaga gol DPMM FC, Haimie Abdullah Nyaring.

Pada minit ke-82, Penang FC, Stefano Brundo menanduk masuk hantaran sepakan sudut Adib Ra’op untuk memastikan kemenangan 2-1 ke atas pasukan dari Brunei itu.
Kemenangan itu menyaksikan Penang FC melonjak dari kedudukan ke-10 ke tangga kelapan sekurang-kurangnya sehingga malam ini, mengatasi Sabah FC (di tempar kesembilan) dengan kelebihan dua mata selepas memungut 25 mata secara keseluruhan.
Jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail dalam pada itu merakamkan ucapan terima kasih kepada anak-anak buahnya yang berjuang habis-habisan pada perlawanan penutup.
Beliau dalam pada itu sempat membuat rumusan ringkas mengenai prestasi Penang FC musim ini.
“Bagi saya musim ini kita lalui sangat mencabar, secara keseluruhan 95 peratus adalah muka baharu cuma Dylan dan Adib yang kerap bermain sejak musim lepas.
“Pusingan kedua seingat saya ketika menentang Terengganu FC menjadi titik mula perubahan Penang FC, namun pertengahan kita sedikit menurun.
“Alhamdulillah juga tahun ini kita berjaya melangkah ke Final Challenge Cup walaupun kita sekadar di tempat kedua kalah penentuan penalti,” ujarnya kepada pemberita dalam satu sidang media sejurus tamat perlawanan.
Mengenai nasib beliau sebagai pengendali Penang FC, Wan Rohaimi menyerahkan segala-galanya kepada pihak pengurusan.
“Selagi khidmat saya diperlukan saya akan berikan yang terbaik dan untuk musim ini saya juga ingin rakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada pengurusan Penang FC atas kepercayaan kepada saya,” katanya lagi.
Gambar : PENANG FC