PANTAI JEREJAK – Penyertaan bagi acara Durirun Balik Pulau International Marathon (DBPIM) 2026 masih dibuka sehingga 20 Mei depan atau sehingga jumlah peserta mencapai 3,000 orang.
Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, tahun ini beberapa kelainan ditampilkan oleh pihak penganjur bagi menjadikan acara tersebut lebih menarik.
“Tahun ini, buat pertama kalinya kita perkenalkan acara ‘full marathon’ berbanding ‘half marathon’ pada tahun lalu.
“Seperti biasa, DBPIM ini saya rasa merupakan satu-satunya acara larian yang mana peserta akan dihidangkan dengan durian sebaik sahaja menamatkan larian.

“Bagi menambah kelainan, kita juga akan menghidangkan kuih-muih, makanan tradisional serta makanan terkenal di Balik Pulau di setiap ‘check point’ selain produk-produk penaja seperti Bubble O2 dan 100PLUS,” ujarnya pada sidang media di sini, petang tadi.
Hadir sama, Pengarah Urusan Bubble O2, Azizah Ariffin; Pengarah Puncak Event, Muhammad Illaham Ishak serta wakil-wakil penaja lain.
Difahamkan, acara tahun ini turut menarik penyertaan pelari antarabangsa dari United Kingdom, Ireland, Australia, Jepun, Kenya, Korea Selatan, Thailand, Singapura dan beberapa negara lain.
Dalam pada itu, Muhammad Bakhtiar turut menaja penyertaan pelajar sekolah sekitar Balik Pulau bagi memupuk gaya hidup sihat.
“Pelbagai hadiah cabutan bertuah juga disediakan termasuk durian premium Balik Pulau.
“Untuk para peserta pula, kita menyediakan kira-kira satu tan durian daripada pelbagai jenis.
“Sekarang, persiapan akhir sedang dijalankan dari semua aspek bagi memastikan kelancaran acara,” katanya lagi.
Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI