PBAHB catat PAT kira-kira RM61.8 juta – Jaseni

Admin

PANTAI JEREJAK – Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd (PBAHB) mencatatkan perolehan syarikat berjumlah RM326.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016 dengan peningkatan sebanyak 8.8 peratus, berbanding RM300.3 juta yang dicatatkan pada tempoh sama pada tahun 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAHB, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa berkata, dengan perkembangan positif tersebut, PBAHB mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah kira-kira RM61.8 juta.

“Oleh itu, kira-kira RM13.2 juta daripada PAT ini akan dibayar dalam bentuk dividen kepada 8,961 pemegang saham.

“Manakala, baki RM48.6 juta akan diperuntukan untuk tujuan membiayai projek-projek bekalan air kritikal di Pulau Pinang dalam usaha kita (PBAHB) memastikan tidak akan ada catuan air di negeri ini,” ujarnya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan PBAHB Ke-17 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang juga Pengerusi PBAHB, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon (Timbalan Ketua Menteri I merangkap Timbalan Pengerusi PBAHB) dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah PBAHB iaitu Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) dan Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan).

Mengulas lanjut, Jaseni memberitahu, antara projek utama yang akan dibiayai PAT adalah pemasangan projek saluran paip dasar laut ketiga dari Butterworth ke George Town.

“Pemasangan paip ini akan meningkatkan kapasiti PBAPP (Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang) untuk menyalurkan air terawat dari Loji Rawatan Air Sungai Dua di Seberang Perai bagi kawasan pembangunan di Pulau Pinang.

“Ia juga akan bertindak sebagai ‘penyelamat’ kepada paip saluran pertama yang dilaksanakan pada tahun 1973.

“Dengan kata lain, projek saluran paip dasar laut ketiga ini, direka bentuk dengan kapasiti 350 juta liter sehari (JLH), akan meningkatkan jaminan tiada catuan air di Pulau Pinang terutamanya ketika musim kemarau berpanjangan,” jelas beliau.