PBAHB sasar kurang 10% penggunaan air domestik

Admin

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Holding Berhad (PBAHB) menyasar mengurangkan penggunaan air domestik sebanyak 10 peratus perkapita, iaitu daripada 286 liter/kapita/hari (l/k/h) kepada 257 (l/k/h) tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAHB, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa berkata, Pulau Pinang sedang mempergiatkan strategi pengurusan permintaan air (WDM) untuk memastikan bekalan air yang mencukupi sehingga tahun 2020.

“WDM ini merujuk kepada amalan bagi menggalakkan pengguna air domestik menggunakan air dengan bijak.

“Pendekatan ini akan menyokong pengurusan air yang mampan, pemuliharaan air dan pengurusan kos yang cekap,” ujarnya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-17 PBAHB di sini 23 Mei lalu.

Hadir sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng merangkap Pengerusi PBAHB; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon (Timbalan Pengerusi PBAHB) dan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy (Ahli Lembaga Pengarah PBAHB).

Mengulas lanjut, Jaseni memberitahu, pada tahun 2016, kapita penggunaan air domestik Pulau Pinang merupakan yang
tertinggi di Malaysia dengan catatan 286 l/k/h. Ia adalah 36.8 peratus lebih tinggi daripada purata negara iaitu 209 l/k/h pada 2015 dan 93.2 peratus lebih tinggi daripada yang direkodkan di Singapura (148 l/k/h).

“Justeru, sebagai sebahagian daripada strategi pengurusan permintaan air, PBAHB akan melaksanakan beberapa inisiatif ke arah tujuan tersebut,” jelasnya.

Jaseni memberitahu, pihaknya telah menggariskan tiga inisiatif pengurusan permintaan air untuk Pulau Pinang.

“Bagi meningkatkan Surcaj Pemuliharaan Air (WCS), pihak PBAPP (Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang) telah memohon kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) agar menyemak semula WCS Pulau Pinang kepada RM1.00 bagi setiap 1,000 liter, hanya kepada pengunaan domestik melebihi 35,000 liter.

“WCS ini tidak akan menjejaskan kira-kira 75 peratus daripada pengguna domestik, yang mana rata-ratanya kegunaan kurang daripada 35,000 liter sebulan.

“Kedua, mempromosikan alat penjimatan air (WSD). WSD ini telah dipromosikan di negara seperti Australia, Hong Kong, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat bahawa selepas pemasangannya, WSD mampu mengurangkan penggunaan air sehingga 70 peratus.

“Dan, yang terakhir ialah melalui pendidikan awam untuk meningkatkan kesedaran pengguna. Sokongan orang ramai dan kerjasama mereka dalah penting bagi kejayaan inisiatif WDM ini,” seru beliau.