Rangka ‘Penang Woman’ sah dari Zaman Neolitik, berusia 5,710 tahun, umum KM

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Bahagian tengkorak dimahsyurkan sebagai ‘Penang Women’ yang dijumpai di Guar Kepah pada pertengahan bulan lepas menunjukkan rangka tersebut berusia 5,710 +/- 30 SM.

Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, Radiokarbon Beta Analutical Lab berpengkalan di Florida, Amerika Syarikat (AS) yang mengesahkan perkara tersebut dalam laporan makmalnya pada 17 Mei lalu.

Guan Eng membuat pengumuman itu dalam sidang media bersama-sama Pengarah Pusat Pengajian Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM), Professor Datuk Dr. Mohd. Mokhtar Said yang mengetuai kerja-kerja penyelidikan di Guar Kepah.

“Mulai hari ini, kita akan anggap beliau sebagai ketua penyelidik di tapak arkeologi Guar Kepah.

“Laporan terkini yang diterima pada 17 Mei 2017 adalah isotop bagi Carbon dan Nitrogen (C:N) memberi nilai yang baik dan tidak tercemar, iaitu 3.2 (spesifikasi standard di antara 2.9 hingga 3.6),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, selepas majlis istiadat pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini tbaru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga ADUN Perai dan Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S. Barathi.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam turut mengumumkan pemberian RM50,000 peruntukan khusus untuk kerja-kerja penyelidikan lanjut di tapak penemuan arkeologi tersebut.

Mohd. Mokhtar kemudian menyatakan bahawa buat pertama kali selepas era 1951-1961, penemuan terbesar iaitu kejayaan menjumpai semula struktur bukit kerang (shell midden) di bahagian dasar yang dipenuhi oleh artifak tembikar dan alat batu.

“Bukit kerang, dikatakan berketinggian 10 kaki, rekod daripada British yang membuat kajian awal, tiba-tiba kita jumpa 1 meter yang lebih bawah di bahagian dasar.

“Di luar jangkaan saya, saya ingat (bukit kerang) ini dah habis semua pupus.

“Guar Kepah merupakan tapak ekskavasi arkeologi pertama di Malaysia yang telah dijalankan oleh Sir G. W. Earl pada tahun 1860.

“(Tengkorak ‘Penang Women’ ini) maknanya mewakili masyarakat Zaman Neolitik, hampir ke-6000 tahun dahulu.

“Hasil penemuan ini, kita dapat membayangkan bagaimana lengkapnya galeri arkeologi Guar Kepah nanti, suka saya mencadangkan bukit kerang ini berada di situ (tempat asalnya) di dalam galeri ini nanti (bersama-sama) rangka (‘Penang Women’) ini nanti dan bahan-bahan tembikar di situ,” jelasnya.

Kedudukan tapak arkeologi Guar Kepah dekat Penaga yang tidak jauh dari sungai dan laut, Mohd. Mokhtar menjelaskan, masih terlalu awal mengaitkannya dengan kewujudan ‘Tamadun Gangsa’ yang ditemui Lembah Bujang, jika berdasarkan penemuan-penemuan terbaru oleh pasukan penyelidikan beliau.