AIR ITAM – Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) terus memperkukuh pengalaman pelancongan di Bukit Bendera menerusi penyerahan rasmi sistem mikrofon alat dengar pemandu pelancong audio tanpa wayar Retekess kepada program NatureWalks@Penang Hill.
Inisiatif yang ditaja sepenuhnya oleh PBBPP itu bertujuan meningkatkan lagi penyampaian laluan interpretatif berpandu, sekali gus memperkaya pengalaman pengunjung yang ingin meneroka keindahan semula jadi serta warisan sejarah dan budaya Bukit Bendera.
“Program NatureWalks@Penang Hill yang dimulakan sejak tahun 2018 diwujudkan bagi memperkukuh penglibatan pengunjung melalui aktiviti berjalan kaki berpandu yang menampilkan keunikan biodiversiti, sejarah dan warisan Bukit Bendera.
“Sebagai Rizab Biosfera yang diiktiraf oleh UNESCO, Bukit Bendera menawarkan gabungan biodiversiti, sejarah dan warisan yang tersendiri, yang mana interpretasi yang berkesan memainkan peranan penting dalam membentuk pemahaman dan penglibatan pengunjung,” sebagai memetik kenyataan media oleh PBBPP pada 29 April 2026.

Menurut kenyataan itu lagi, program tersebut kini mengendalikan dua sesi harian pada jam 9.30 pagi dan 11.30 pagi, selain turut menawarkan Pakej Experience Penang Hill (EPH), program lawatan pelajar serta tempahan lawatan khas yang disesuaikan mengikut minat pelbagai pengunjung.
Malah, sejak diperkenalkan, NatureWalks@Penang Hill menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila dari awal tahun hingga Mac 2026, program itu merekodkan hampir 4,300 aktiviti berjalan kaki, merangkumi hampir 2,000 aktiviti berpandu percuma dan lebih 2,300 sesi tempahan khas.
PBBPP berkata, sambutan berterusan tersebut membuktikan permintaan yang semakin meningkat terhadap pengalaman interpretasi berstruktur yang mampu mendalami penghargaan pengunjung terhadap landskap unik Bukit Bendera.

Dalam masa sama, inisiatif itu turut menyokong komitmen lebih luas untuk meningkatkan mutu penyampaian pengalaman berpandu oleh Penang Hill Eco-Heritage Guides.
Menurut PBAPP lagi, program pensijilan Penang Hill Eco-Heritage Guide yang diperkenalkan pada tahun 2024 dan diteruskan dengan pengambilan kedua pada 2025 menjadi platform utama dalam menyeragamkan serta memperkukuh pengetahuan pemandu pelancong.
“Program ini memastikan setiap lawatan berpandu memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna di samping meningkatkan kesedaran tentang Rizab Biosfera Bukit Bendera (PHBR),” jelas PBBPP lagi.
Melalui program berkenaan, PBBPP memaklumkan bahawa sukarelawan belia dan peserta awam turut diberi peluang untuk mentafsir serta berkongsi naratif ekologi dan budaya Bukit Bendera, sekali gus memperkukuh kedudukan Bukit Bendera sebagai destinasi utama pelancongan alam semula jadi dan warisan.
“Pengenalan sistem audio tanpa wayar baharu itu juga membolehkan pemandu pelancong berkomunikasi dengan lebih berkesan dalam persekitaran luar, khususnya apabila berdepan kekangan jarak dan gangguan bunyi persekitaran yang boleh menjejaskan kejelasan penyampaian.
“Penambahbaikan ini memastikan penceritaan yang lebih konsisten dan pengalaman yang lebih menarik untuk pengunjung,” jelas PBBPP.

Selain itu, PBBPP memaklumkan bahawa sistem berkenaan turut membantu pengurusan kumpulan pelawat dengan lebih tersusun serta membolehkan peserta mengikuti penerangan dengan lebih jelas, sekali gus menjadikan pengalaman lawatan lebih imersif dan bermakna.
“Secara keseluruhannya, langkah itu dijangka meningkatkan tahap kepuasan pengunjung sambil menyokong amalan pelancongan lestari yang menitikberatkan pemeliharaan alam sekitar semula jadi Bukit Bendera,” kata PBBPP.
Dalam kenyataan sama, PBBPP turut merakamkan penghargaan kepada NatureWalks@Penang Hill atas sumbangan mereka dalam menjayakan inisiatif tersebut.