PBT sentiasa pantau premis perniagaan – Ramasamy

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa melakukan pemantauan terhadap premis perniagaan di kawasan pentadbiran masing-masing secara berkala.

Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy sebagai penjelasan kepada soalan dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Nordin Ahmad yang mencadangkan bahawa peraturan diperketatkan agar warga asing tidak dibenarkan menyewa premis untuk dijadikan kedai runcit dan pelbagai perniagaan lain.

Ramasamy memberitahu, PBT tidak teragak-agak untuk menarik semula lesen premis perniagaan tersebut sekiranya mendapati ianya diusahakan oleh warganegara asing.

“Kerajaan Negeri melalui kedua-dua PBT akan menarik balik lesen premis perniagaan sekiranya mendapati premis-premis perniagaan tersebut diusahakan warga asing dan yang disewakan oleh pemilik rakyat tempatan,” ujarnya yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan & Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi pada ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini baru-baru ini.

Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai memberitahu, MPSP kini turut memperkenalkan Dasar Tidak Mengupah Pekerja Warganegara Asing/Pemastautin Tetap (PR) sebagai pembantu gerai di gerai-gerai
perniagaan, premis perniagaan dan penjaja milik Majlis.

“Perkara ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan dan Penguatkuasaan MPSP Mac lalu.

“Dasar ini menetapkan peniaga dan penjaja tidak dibenarkan mengupah pembantu warga asing atau PR di gerai
pasar dan kompleks makanan milik MPSP termasuk pasangan kepada warganegara tempatan yang berstatus warga asing ataupun PR,” jelasnya.