ADUN UMNO berdalih nasihat kenyataan cauvinis Pengerusi MCA negeri ketika diasak Guan Eng

Admin

GEORGE TOWN – Datuk Tan Teik Cheng yang mengeluarkan kenyataan cauvinis terhadap Kerajaan Negeri Pakatan Harapan, tetapi beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri pembangkang masing-masing dilihat seakan berdalih ketika diminta menasihat pemimpin utama Barisan Nasional (BN) terbabit.

Ketika mengasak pembangkang, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pentadbirannya tidak wajar dituduh anti-Cina kerana menaikkan peruntukan hal ehwal agama Islam hampir 84 peratus menjadi RM457.05 juta dalam tempoh 2008 hingga 2016, berbanding RM249.09 juta dalam tempoh 1999 hingga 2007.

“Apabila Kerajaan Negeri hari ini menaikkan peruntukan hal ehwal agama Islam, kita dituduh anti-Cina, adakah ini betul?

“Kerana kita (Kerajaan Negeri hari ini) beri peruntukan kepada sekolah Cina, dituduh anti-Melayu dan anti-Islam.

“Kerajaan Negeri tidak pernah kritik Kerajaan Pusat memberikan wang kepada mana-mana kaum sebagai anti kaum yang satu lagi.

“Nasihatlah pemimpin  Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang berkenaan supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan cauvinis,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih ketika sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, ADUN Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (BN) dan Shariful Azhar Othman (ADUN Bertam – (BN)) antara wakil rakyat pembangkang di DUN yang berdalih untuk menasihat Pengerusi MCA Pulau Pinang berkenaan.

Shah Headan berdalih dengan mencadangkan debat terbuka antara Guan Eng dan Teik Cheng di luar DUN Pulau Pinang.