PDC agensi KN pertama amal Dasar Pemberi Maklumat

BAYAN BARU – Pemberi maklumat mengenai pelanggaran tatakelakuan seperti amalan rasuah umpamanya dalam Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan dilindungi, melalui pelaksanaan Dasar Pemberi Maklumat. Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, PDC adalah agensi Kerajaan Negeri yang pertama melaksanakan dasar integriti tersebut.

“Beberapa langkah integriti telahpun dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sebagai inisiatif dalam menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang bersih.

“Antara yang telah kita lakukan ialah menginstitusikan pengisytiharan harta secara terbuka oleh Ketua Menteri dan barisan EXCO; melaksanakan tender terbuka yang kompetatif; tidak membenarkan ahli keluarga untuk melibatkan diri dalam kontrak kerajaan; melarang ADUN dan ahli pentadbiran daripada meluluskan permohonan tanah Kerajaan Negeri dan tidak menerima ‘donation’ (‘sumbangan’),” katanya semasa merasmikan Majlis Pelancaran Dasar Pemberi Maklumat (Whistleblower Policy) Sempena Hari Integriti PDC di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Dr. Anis Yusal Yusoff dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Pulau Pinang, Datuk M. Samarajoo turut sertai majlis itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng memberitahu bahawa amalan integriti melalui prinsip CAT atau Cekap, Akauntabel dan Telus sejak tahun 2008 telah membawa manfaat ekonomi kepada Kerajaan Negeri dan rakyat.

Katanya, Kerajaan Negeri dalam tempoh lapan tahun antara 2008 hingga 2015 mencatatkan pelaburan sebanyak RM55 bilion, dengan peningkatan 90 peratus berbanding RM29 bilion jumlah pelaburan dalam tempoh lapan tahun sebelum itu, daripada 2000 hingga 2007.

Lanjutan itu, tambah Guan Eng, Kerajaan Negeri berjaya mendapat beberapa pengiktirafan antarabangsa serta pulangan berupa ‘deviden integriti’, melalui sektor pelaburan, pelancongan serta Penyumberan Luaran Proses Perniagaan (BPO).

“Pulau pinang juga diklasifikasikan antara 31 teratas bagi lokasi BPO di masa hadapan oleh KPMG ‘Meneroka Frontiers Global’.

“Sektor pelancongan turut menunjukkan peningkatan kemasukkan pelancong apabila PIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang) mencapai kapasiti penuh sebanyak 6.3 juta pada 2015 dengan jangkaan tahun ini (2016) akan meningkat kepada 6.5 juta penumpang, iaitu melebihi lima tahun lebih awal daripada sasaran pada tahun 2020,” jelasnya.