Berita tikus sebesar ayam melampau, respons Ahli Majlis

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

PADANG KOTA – Berita mengenai tikus sebesar arnab dan ayam, yang disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Cina pada 6 Mac lalu seakan tidak benar serta wajar diangap sebagai laporan melampau, respons Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ong Ah Teong di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ah Teong memberitahu, beliau sendiri ada menghubungi penulis berita terbabit, namun individu berkenaan gagal mengemukakan bukti berwajib.

“Saya ingin menasihatkan, jika hendak menulis artikel ‘berbungabunga’ sekalipun, tidak perlu sampai melanggar etika (kewartawanan),” responnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, tiga Ahli Majlis MBPP lain, Ahmad Azrizal Tahir, Joseph Ng Soon Siang dan Ahmad Razaaim Azimi.

Mengulas lanjut, Ah Teong memberitahu, MBPP sememangnya melakukan pemeriksaan berkala di tempat-tempat tumpuan umum, terutamanya lokasi yang terletak di bawah selenggaraan pihak majlis seperti kompleks makanan, pasar dan lain-lain.

“Bagi saya, dalam isu tikus, manamana tempat di dalam dunia walaupun di negara maju seperti United Kingdom, Jepun dan Singapura juga menghadapi masalah tersebut dan kita perlu langkah pengawalan yang sempurna,” jelasnya.

Tambah Ah Teong, seramai 14 anggota MBPP bertanggungjawab dalam menangani isu tikus, dengan melakukan pemeriksaan sekerap dua atau tiga operasi tiap-tiap bulan.

“Selain itu, sejak tahun 2013, MBPP juga mewajibkan semua kedai makan, restoran, hotel dan kedai kopi perlu melantik syarikat kawalan serangga serta haiwan perosak bagi memastikan premis masing-masing terkawal dari masalah tersebut. Itu juga salah satu syarat untuk memperbaharui lesen perniagaan,” ujarnya.

MBPP sepanjang tahun 2009 hingga Februari 2016 direkodkan berjaya menangkap sebanyak 112,608 ekor tikus.