PDC Setia Urus anggar kos naik taraf Komtar RM40 juta tahun 2016

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

GEORGE TOWN – PDC Setia Urus , sebuah anak  syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menjangkakan kos menaiktaraf bangunan Komtar yang menjadi ikon Pulau Pinang mencecah RM40 juta bagi tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PDC Setia Urus, Datuk Ir. Ang Choo Hong berkata, anggaran kos tersebut adalah bagi perancangan projek menaiktaraf bangunan Komtar Fasa 1 dan Fasa 2 bagi tahun 2016 yang meliputi kerja-kerja pemasangan sistem penghawa dingin termasuk unitunit pengendalian udara (AHU), pemasangan tangga elektrik bergerak (escalator), pembaikan lif, penambahan kamera litar tertutup (CCTV) dan pembaikan siling di ruang podium di sini.

Jelasnya, kerja-kerja teknikal dan fizikal tersebut juga akan melibatkan pembaikan struktur luaran serta dalaman Komtar, termasuk di menara Komtar setinggi 232 meter, kawasan Dome dan kawasan Komtar Fasa 2 (bangunan pusat membeli-belah Pacific Hypermarket).

“Tahun lalu (2015), PDC Setia Urus membelanjakan RM3 juta bagi kerja-kerja pemasangan dan penggantian pam air, penghawa dingin dan set generator. “Selain itu, turut terlibat adalah kerja-kerja mencuci ‘facade’, penggantian enam buah lif di zon tengah menara Komtar dan menyusun semula kioskkiosk perniagaan di Konkos Tingkat 3.

“Bagi tahun 2016 pula, ia banyak melibatkan kerja-kerja pemasangan dan penggantian utiliti, unit-unit teknikal serta CCTV di samping kerja-kerja bagi mewujudkan sistem kitar semula di kawasan Komtar,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Khas Mengenai Projek-projek di Komtar kepada ‘stakeholders’ di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng. Dalam pada itu, tambah Choo Hong, projek-projek lain yang turut dilaksanakan bagi ‘meremajakan’ semula bangunan Komtar adalah seperti projek ‘roof top’, pemasangan lif ‘bubble’ di luar bangunan Komtar, menaiktaraf The Top (di Tingkat 5 sebagai restoran) dan juga kawasan meletak kereta bersebelahan Pejabat Pos Komtar.

“Menariknya, apabila projekprojek ‘meremajakan’ semula bangunan Komtar siap, suasana dan permandangan bangunan Komtar akan berubah menjadi lebih futuristik dan bercahaya,” ujar beliau.

Menara Komtar merupakan bangunan tertinggi di Pulau Pinang yang menempatkan ruang-ruang pejabat serta menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Negeri. Bangunan berusia lebih 30 tahun itu mempunyai keunikan tersendiri dengan reka bentuk dodekagon atau segi 12.