Sumbangan topi keledar ikut piawaian harap semarak kesedaran

GUNAKAN TOPI KELEDAR TEPATI PIAWAIAN… Inisiatif Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Pulau Pinang mengedarkan 60 topi keledar menepati piawaian kepada para penunggang motosikal baru-baru ini diharap dapat menyemarakkan kesedaran dalam kalangan pengguna berkaitan.

Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom), Pengangkutan (Udara, Laut, Keretapi), Lim Hock Seng berkata, sumbangan masing-masing 30 topi keledar penunggang dewasa dan kanak-kanak (30) terbabit diharap dapat membuatkan para penunggang supaya lebih berhati-hati di jalan raya terutamanya pada musim perayaan.

“Walaupun jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya semakin menurun saban tahun, namun kes kemalangan (jalan raya) adalah semakin tinggi,” katanya ketika bersama-sama mengedarkan topi keledar kepada para pengguna di susur keluar Jambatan Pulau Pinang menghala Butterworth di sini baru-baru ini.

Turut sama, Pengarah JKJR Negeri Pulau Pinang, Mohd. Shoki Hamzah. Turut diedarkan, 500 unit goodies bag, ves keselamatan (50), pelekat pantulan cahaya (500) dan minyak pelincir tajaan Petronas Lubricant Marketing Malaysia (100 botol).

Mohd. Shoki memberitahu, statistik dari 2012 hingga tahun 2015 menunjukkan bahawa jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya adalah menurun setiap tahun, iaitu 400 kes dicatatkan pada 2012 berbanding 2015 (321).