Dapatkan permit sebelum mula kerja tapak – Exco

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : LAW SUUN TING

TELUK BAHANG – Pihak pemaju mahupun pemilik tanah di negeri ini dinasihatkan agar mendapatkan permit kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) terlebih dahulu sebelum menjalankan kerjakerja di tapak rancangan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow ketika mengadakan lawatan ke tapak Resort Boulder Valley Glamping di sini berkata, permohonan permit kebenaran merancang adalah selaras dengan peruntukan di bawah Akta Bandar dan Desa, Kaedah-kaedah Pengawalan Perancangan (Am), 1995, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Mereka (pemaju dan pemilik tanah) perlu mengikut garis panduan dan undang-undang yang telah ditetapkan serta memohon kelulusan (kebenaran merancang) terlebih dahulu, baru mulakan kerja-kerja pemajuan.

“Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur atau berkompromi terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan sedia ada,” katanya barubaru ini. Hadir sama, Pengarah Amazing Discovery Sdn. Bhd. (Amazing Discovery), Lee Woon Poo dan Pengerusi Eksekutif Resort Boulder Valley Glamping, Heah Gek Huah.

Resort Boulder Valley Glamping yang bakal dibangunkan di sini adalah sebuah eko-resort berkonsep perkhemahan mewah berlatarbelakangkan alam semulajadi yang pertama di dalam negara.

Resort yang bakal dibangunkan di atas tanah milik persendirian seluas 22 ekar tersebut dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun depan.

Serentak itu, Kon Yeow turut memuji usaha dan kesungguhan syarikat Amazing Discovery dalam memastikan semua kelulusan diperoleh sebelum memulakan kerja.

“Ia adalah satu proses yang rumit dan mengambil masa panjang bagi meyakinkan pihak berwajib.

“Tahniah kepada Amazing Discovery kerana memastikan kelulusan kebenaran merancang diperoleh dahulu,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Woon Poo, syarikatnya mengambil masa lebih dari setahun untuk mendapat kelulusan yang diperlukan.

“Keselamatan tapak adalah keutamaan selain daripada mengekalkan ciri-ciri tapak alam sekitar termasuk faktor biologi dan geologi tanpa memusnahkan flora serta fauna serta habitat semulajadi.

“Kos ‘pembangunan’ kini telah meningkat kepada RM20 juta iaitu lebih daripada anggaran asal sebanyak RM7 juta ekoran keperluan pematuhan yang perlu diikuti,” jelas beliau.