PDRM, ATM terima saguhati raya tanda penghargaan

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Bagi menghargai jasa dan khidmat bakti pasukan keselamatan negeri, Kerajaan Negeri baru-baru ini menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri bernilai RM10,000 masing-masing kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, kesejahteraan dan keamanan tidak akan wujud tanpa pengorbanan serta khidmat bakti anggota keselamatan tanpa mengira waktu termasuk bertugas pada musim perayaan.

“Kerajaan Negeri amat menghargai jasa dan pengorbanan anggota keselamatan tanpa mengira masa demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan semua terpelihara,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan khas Hari Raya Aidilfitri di sini baru-baru ini.

Mewakili PDRM adalah Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A. Thaiveegan yang mewakili Ketua Polis Negeri.

Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Mohd. Zakaria Yadi dari Kem Sungai Layar, Sungai Petani mewakili pasukan ATM.

Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai.

Dalam perkembangan berasingan, pemaju, Ideal Property Group dengan kerjasama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), G Club Penang Cyclists dan Rotary Club Tanjung Bungah bakal menganjurkan Ideal Property Group CFAL Edisi Ke-enam pada 17 Ogos ini dengan jumlah penyertaan seramai 4,200 peserta berdaftar dari dalam dan luar negara.

Acara kayuhan basikal tahunan tersebut mencabar stamina setiap peserta untuk berbasikal mengelilingi pulau sejauh 82 kilometer dengan catatan masa terbaik.