Sumbangan 500 kaca mata percuma dapat pujian KM

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN DALAM – Ahli perniagaan terkemuka, Datuk Seri R. Arunasalam melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Butterworth beliau baru-baru ini menyumbang 500 kaca mata percuma kepada mereka yang terpilih.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang menyertai majlis tersebut dalam ucapannya merakamkan penghargaan serta memuji pasukan Arunasalam atas aktiviti amal berterusan mereka kepada komuniti setempat sejak beberapa tahun lalu di negeri ini.

“Sebanyak 500 pasang di mana sekurang-kurangnya sepasang berharga RM100, bermakna beliau telah mengeluarkan RM50,000 untuk 500 penerima,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan di Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Lim Hock Seng (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Bagan Jermal merangkap Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), A. Tanasekharen (ADUN Bagan Dalam) serta Dr. R. A. Lingesh (anak Arunasalam) turut menyertai majlis penyampaian sumbangan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng yang juga ADUN Air Putih memberitahu, pentadbirannya pernah dipertikai sebelum ini kerana mencadangkan pemberian anugerah kebesaran yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ kepada Arunasalam.

Katanya, khalayak mempertikai Kerajaan Negeri semasa itu antaranya atas alasan bahawa Arunasalam dikatakan kurang dikenali serta kurang memberi sumbangan kepada Pulau Pinang berbanding tokohtokoh lain di negeri ini.

Pun begitu, beliau memberitahu, aktiviti amal secara berterusan yang dilakukan Arunasalam sehingga kini meyakinkan Kerajaan Negeri bahawa ahli korporat berkenaan memang layak menerima darjah kebesaran berwajib.

“Di Pulau Pinang, mungkin tidak mengenali beliau. Tetapi, di Bagan ini, kalau tak pakai kaca mata pun, sumbangan beliau dirasai oleh rakyat,” ujar Guan Eng.

Difahamkan, pasukan Arunasalam sejak kira-kira 35 tahun lepas menyampaikan sumbangan tahunan berupa beras serta makanan kepada golongan terpilih.

Manakala, pemberian 500 kaca mata secara percuma kepada pelajar serta warga emas terpilih pada majlis amal baru-baru ini merupakan kali keempat dilakukan mereka.