Pejabat ‘hijau’ PGC terima pensijilan emas GBI

Admin

GEORGE TOWN – Ibu pejabat baru Penang Green Council (PGC) bercirikan konsep pembangunan lestari berdasarkan Indeks Bangunan Hijau (GBI) pada rekabentuk dan penggunaan sumber-sumber dalaman membolehkannya menerima pengiktirafan Gold Certification of GBI Interior Tool daripada Malaysian Green Building Confederation (MGBC) baru-baru ini di sini.

Lebih membanggakan adalah ia merupakan Projek Perintis Pertama dalam negara bercirikan konsep hijau dan mesra alam sekitar yang diinspirasikan Fasilitator GBI, Baylon Tham.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir merasmikan pejabat tersebut berkata, inisiatif tersebut adalah merupakan projek permulaan serta percubaan pertama seumpamanya.

“Iaitu, bahan-bahan mentah yang digunakan untuk ‘mewujudkan’ pejabat ini adalah mesra alam. Malah, konsep pejabat juga dirancang bagi mengurangkan penggunaan tenaga dan penjimatan elektrik.

“Berkonsepkan penggunaan sumber-sumber semulajadi, pejabat PGC berelemenkan lantai simen, dinding bilik daripada kayu papan dan meja kerja diperbuat daripada kayu yang dikitar semula,’’ katanya di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Ketua Menteri II. Prof. Dr. P. Ramasamy, Pengurus Besar PGC, Thing Siew Shuen, barisan Exco Kerajaan Negeri dan Ketua-ketua Jabatan.

Menurut Guan Eng, pada tahun 2012, beliau telah melancarkan projek Pensijilan Pejabat Hijau di Pulau Pinang.

“Pada hari ini, PGC sekali lagi telah berjaya mengharungi cabaran dan mencapai satu kejayaan luar biasa dengan melestarikan Projek Perintis Pertama di Malaysia yang menerima pensijilan emas,” ujarnya yang turut berharap idea serta pengiktirafan tersebut akan memberikan contoh kepada yang lain.