P. Pinang perintis projek urus sisa organik domestik dunia

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI & ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Pulau Pinang antara tiga buah bandaraya di Asia yang dipilih bagi melaksanakan projek perintis pengurusan sisa organik domestik oleh badan antarabangsa Climate and Clean Air Coalition (CCAC), Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di bawah Program Alam Sekitar (UNEP) dalam usaha mengurangkan pembuangan sisa organik dari kawasan kediaman ke tapak pelupusan sampah di sini.

Selain Pulau Pinang, dua lagi bandaraya terpilih untuk melaksanakan projek perintis ini ialah Dhaka, Bangladesh dan Hanoi, Vietnam.

Di Pulau Pinang, projek berkenaan dijalankan di enam kawasan kediaman terpilih antaranya di bahagian pulau, Flat PPR Jalan Sungai (Sungai Pinang), Taman Pelangi (Lebuh Macallum), The Peak (Jalan Mount Erskine).

Manakala di Seberang Perai pula, Park View (Butterworth), Taman Pandan (Butterworth) dan Taman Tanjung Indah (Butterworth) telah dipilih sebagai perintis dalam pelaksanaan projek tersebut.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, melalui pelaksanaan projek perintis tersebut, Kerajaan Negeri bakal memberi insentif kepada penghuni kawasan kediaman terpilih yang mempraktikkan pengasingan sisa organik dan kitar semula.

“UNEP dan Bank Dunia dengan kerjasama Kerajaan Negeri, Kerajaan Tempatan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) kini dalam perancangan untuk membangunkan pelan pelaksanaan berdasarkan insentif bagi pengurusan sisa organik domestik terutama bagi kawasan kediaman bertingkat tinggi terpilih.

“Pemberian insentif ini termasuk sama ada wang tunai atau kemudahan-kemudahan asas lain seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kecekapan pengurusan sisa buangan organik di Pulau Pinang,” katanya pada Majlis Perasmian Bengkel Penang’s Output-based Payment Programme di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ir. Ang Aing Thye.

Jelas Kon Yeow, melalui projek perintis terbabit, Bank Dunia dan CCAC memperuntukkan sejumlah AS$70,000 setahun bagi penyediaan mesin pemprosesan sisa buangan, bio-regen oleh syarikat Bio- Regen Photonics Sdn. Bhd. yang bernilai RM18,000 setiap satu yang mana mesin tersebut turut dilengkapi dengan tong-tong simpanan yang mampu menampung sehingga 28 hari sisa buangan organik.

Mengulas lanjut, beliau difahamkan bahawa teknologi pemprosesan sisa organik berkenaan telah digunapakai di Australia dan beberapa buah negara Eropah khususnya di ladang-ladang ternakan dan sektor pertanian.

Tambahnya, hasil dari projek berkenaan akan dijadikan panduan dalam menyediakan dasar, teknologi dan penyertaan sektor swasta dalam usaha mengurangkan pembuangan sampah dan sisa organik domestik ke tapak pelupusan sampah.

Kon Yeow dalam pada itu turut mengambil contoh hasil kejayaan Kerajaan Negeri dalam pengurusan sisa hijau di tapak pelupusan sampah Ampang Jajar (stesen pemindah) dan Jelutong serta skim galakan melalui pendekatan segregation at source (pengasingan dari sumber) di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Walau apa jua pendekatan yang diambil, tujuan asal kita adalah untuk mengurangkan sampah yang dihantar ke tapak pelupusan sampah kerana hampir 80 peratus sampah yang dibuang sebenarnya masih boleh dimanfaatkan.

“Pengurangan sampah di tapak pelupusan sampah juga mampu memanjangkan jangka hayat penggunaan tapak pelupusan sehingga 50 peratus berbanding sebelumnya serta mengurangkan sisa karbon,” ujarnya.

Selain itu, beliau memberitahu, proses penguraian sisa organik yang ditanam terus di tapak pelupusan sampah akan menghasilkan gas metana.

“Gas tersebut sememangnya boleh digunakan namun kehadirannya yang sedikit menyukarkan proses pengumpulan selain kosnya yang tinggi.

“Dalam jangka panjang, jika dibiarkan bebas, gas tersebut mampu menyebabkan pencemaran dan kesan rumah hijau,” tegas Kon Yeow.