Jawatankuasa masjid, surau dialu-alukan mohon peruntukan – Rayer

SUNGAI PINANG – Jawatankuasa masjid dan surau sekitar Parlimen Jelutong dialu-alukan untuk mengemuka permohonan sekiranya memerlukan dana bagi penambahbaikan kedua-dua institusi berkenaan.

 

Perkata itu dinyatakan oleh Ahli Parlimen kawasan terbabit R.S.N Rayer ketika menyampaikan sumbangan RM24,960 kepada Surau Al-Muhajirin dekat Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai, semalam.

 

“Semua surau dan masjid yang memerlukan dana kita akan beri peruntukan, hari ini surau ini yang saya sampaikan adalah untuk tujuan menukar karpet berkeluasan kira-kira 2,400 kaki persegi.

 

“Saya alu-alukan pihak pengurusan surau dan masjid untuk mengemukakan permohonan kerana kita sedia maklum MAINPP (Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang) juga mungkin ada kekangan kewangan, jadi MP (Ahli Parlimen) juga lakukan perkara sama,” ujarnya.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Mohamed Yusoff Mohamed Noor; Pengerusi Surau Al-Muhajirin, Abu Bakar Che Din serta ahli jawatankuasa persatuan penduduk Flat PPR Jalan Sungai.

 

Dalam pada itu, Abu Bakar ketika ditemui Buletin Mutiara menyatakan rasa syukur atas kesudian Rayer membantu surau tersebut yang disifatkan sebagai tepat pada masanya.

 

“Masalah karpet yang ada sekarang ini adalah serangan pepijat yang kita sedia maklum memang susah untuk dihapuskan,” ujarnya lagi.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : ADLEENA AHMAD RADZI