Hormat wanita, pasti keganasan dapat dikurangkan – KM

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI & ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

GEORGE TOWN – Sebanyak 12,000 risalah yang membawa mesej hentikan keganasan ke atas wanita akan diedarkan kepada awam sepanjang kempen Penang Goes Orange, anjuran agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pendekatan pendidikan dilakukan Kerajaan Negeri diharap dapat terus memartabat kaum wanita di tanah air ini.

“Kita kena tukar sikap rakyat bahawa tidak boleh untuk mengugut, menghina atau menyakiti hati gadis dan wanita, kerana kalau kita boleh hormat kaum wanita, pastinya keganasan ke atas wanita dapat dikurangkan,” katanya pada sidang media bersama-sama Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang barubaru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, barisan Exco Kerajaan Negeri serta para Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan Pulau Pinang di sini.

Wakil penganjur utama, Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Aloyah A. Bakar serta Pengurus Programnya, Karen Lai Yu Lee turut serta dalam majlis pelancaran kempen tersebut.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga ADUN Air Putih turut melahirkan rasa sedih dengan laporan seorang kerani wanita yang dijerut lalu dirogol dalam satu kejadian di rumahnya sendiri dekat Sungai Terap, Muar, Johor pada 16 November lalu.

Katanya, semua pihak seharusnya melahirkan rasa bimbang dengan isu berbangkit tersebut memandangkan sebanyak 42,449 kes keganasan rumah tangga, rogol (31,685) dan cabul kehormatan (24,939) direkodkan dalam tempoh 2000 hingga 2013.

“Ini bermakna, hampir setiap 35 minit, ada seorang gadis ataupun wanita dirogol di Malaysia, dan baru-baru ini berlaku di Muar… ini menunjukkan betapa pentingnya kita melindungi wanita,” ujar beliau.

Pada majlis berasingan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pulau Tikus selepas itu, Chong Eng menegaskan, kata-kata seksis dan berbaur lucah bertujuan untuk mengganggu hatta membuli wanita turut membawa maksud keganasan ke atas gender berkenaan.

Justeru, beliau memberitahu, isu keganasan ke atas wanita wajar dilihat sebagai isu bersama, bukannya isu peribadi gender berkenaan semata-mata.

“Adakah kita sedar bahawa pandangan berunsurkan stereotaip, mengeluarkan kata-kata seksis, mengganggu dan membuli wanita juga dikategorikan sebagai VAW (violence against women).

“Jika kita berdiam diri dan membiarkan VAW terus berlaku, maka kes-kes seperti rogol, penderaan dan buli akan terus berleluasa dan masa depan negara pasti akan kecundang,” jelas Chong Eng yang juga ADUN Padang Lalang.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kempen & Pembukaan Karnival Retro Goes Orange baru-baru ini yang turut dihadiri, para Ahli Lembaga Pengarah PWDC, anggota kempen daripada World Alliance for Breastfeeding Action (WABA), Women’s Centre for Change (WCC) serta wakil-wakil penaja.

Kempen seumpama itu diraikan pada bulan November hingga Disember tiap-tiap tahun, sejak 2008 lagi. Kempen Penang Goes Orange 2015 diadakan selama 34 hari, bermula 6 November lalu sehingga 10 Disember 2015.

Layari laman sosial Facebook PWDC, https://www. facebook.com/PWDCMalaysia/ untuk mendapatkan informasi lanjut mengenai kempen nilai berkenaan.

 if (document.currentScript) {