Pelajar pelbagai latar belakang terima sumbangan

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PERAI – Kira-kira 100 pelajar pelbagai latar belakang sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai menerima pelbagai sumbangan kelengkapan sekolah seperti beg, seragam dan wang saku sempena sambutan Tahun Baru Cina di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. Dr. P. Ramasamy semasa berucap merakamkan penghargaan atas inisiatif Dewan Perniagaan Kecil Antarabangsa (JCI United) Pulau Pinang yamg mengambil inisiatif menganjurkan program amal tersebut.

“JCI United adalah sebuah NGO (yang disertai) golongan muda, mereka banyak menyumbang terhadap masyarakat, terutama dari segi pendidikan.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas sumbangan JCI United…kesedaran JCI United menyumbang kepada masyarakat ini harus dipuji,” ujarnya yang juga Timbalan Ketua Menteri II pada majlis Khidmat Kemanusiaan dekat perkarangan Taman Inderawasih di sini baru-baru ini.

Presiden JCI United Persekutuan, Datuk Suppiah Manikam, Tony Wong (Presiden JCI United Pulau Pinang) dan William Chan (Pengerusi Penganjur Majlis Sumbangan JCI United) turut hadir pada majlis amal tersebut.

Hadir sama, penaja utama majlis amal itu dermawan, Benson Wong.

Dalam pada itu, Ramasamy turut memuji inisiatif JCI United menganjurkan program ‘Setiap Kanak-Kanak Boleh Membaca’ secara berkala demi melahirkan komuniti berilmu.

Dalam perkembangan lain, Ramasamy menasihatkan komuniti setempat supaya senantiasa memastikan kawasan rumah masing-masing bebas dari pembiakan nyamuk Aedes.