Pelan Strategi MPSP 2018 – 2022, ke arah Seberang Perai berdaya tahan, inklusif, hijau & kompetitif

BANDAR PERDA – Penduduk di Seberang Perai disarankan agar sentiasa memberikan cadangan dan maklum balas kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) supaya tahap perkhidmatan perbandaran, perancangan, pembangunan serta ketersediaan infrastruktur dapat ditingkatkan dengan berkesan.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, MPSP kini giat melaksanakan pelan pembangunan strategik yang dijadualkan siap pada Disember nanti.

“Pelan itu merupakan hala tuju MPSP dalam tempoh lima tahun akan datang dan merupakan komitmen MPSP kepada semua stakeholders di kawasan Seberang Perai bagi menjayakan visi dan misi MPSP.

“(Dan) pelan ini merupakan yang keempat setelah yang pertama dilancarkan pada tahun 2001 dengan mengambil kira 10 keutamaan strategi yang telah dipilih oleh stakeholders seperti persekitaran selamat, kemudahan yang berkualiti, gaya hidup sihat, pembangunan persekitaran yang bersih dan hijau, penerapan teknologi baharu dan menjadikan Seberang Perai sebagai bandar yang berdaya tahan serta berdaya huni,” ucapnya pada Sesi Town Hall Konsultasi Pembentukan Pelan Strategi Seberang Perai 2018 – 2022 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan penuh atas usaha-usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertujuan meningkatkan kecekapan dalam mengendali kerja-kerja kepada satu tahap yang lebih baik.

“MPSP kini sudah berkeyakinan dengan pengendaliannya dan sedang menyasarkan ke arah menjadi sebuah bandar raya…bukan bandar raya yang biasa, tetapi bandar raya yang ingin mencapai tahap pengurangan karbon dan pintar,” jelasnya.

Pelan bertemakan Seberang Perai Resilient, Inklusif, Hijau dan Kompetitif berkaitan antara lain mengambil kira respons soal-selidik yang telah diadakan pada 30 Ogos sehingga 25 September 2017 lalu.

Difahamkan, sesi ‘Town Hall’ yang diadakan barubaru ini adalah sesi yang bakal membuka ruang dan peluang untuk para pemegang saham mengutarakan idea dan bertukar-tukar pandangan bagi mempertingkatkan perkhidmatan perbandaran.