Pelantikan Presiden FAP baru atas dasar kualiti bukan politik

Admin

 

MOHD. Foaz Hamid
MOHD. Foaz Hamid

GEORGE TOWNBagi mengembalikan era kegemilangan bola sepak negeri, pelantikan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) yang diumumkan baru-baru ini adalah berasaskan kecenderungan serta minat seseorang dalam bidang sukan berkenaan dan sama sekali tidak terikat dengan mana-mana parti politik.

Berasaskan kriteria tersebut, Ketua Menteri dalam majlis sidang akharnya telah mengumumkan pelantikan Mohd. Foaz Hamid selaku Presiden FAP yang baru. Malah, pada masa sama, Ketua Menteri turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan memberi sokongan penuh kepada FAP dalam usaha untuk ‘kembali’ gemilang.

Dalam pada itu, Mohd. Foaz menyatakan bahawa beliau akan cuba sedaya upaya untuk mengembalikan ‘taring’ bola sepak negeri ini.

“Saya juga berharap agar Kerajaan Negeri membenarkan pihak kami (FAP) menggunakan Stadium Bandaraya Pulau Pinang untuk menjalani latihan yang lebih komprehensif,” ujarnya pada majlis pengumuman pelantikan beliau oleh Ketua Menteri di sini.

Tambah beliau, sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, sukan bola sepak di Pulau Pinang bukan sahaja menjadi bualan hangat di warung-warung serta rumah-rumah, malah, turut menjadi perhatian seluruh Malaysia ekoran kehebatan yang ditonjolkan oleh para pemain.

“Kita (Pulau Pinang) mempunyai pasukan bola sepak yang sangat diminati dan menjadi inspirasi para remaja sekitar tahun berkenaan. Kini, pasukan bola sepak kita (Pulau Pinang) seolah-olah bagai kumbang patah taring,” ujarnya.

Katanya lagi, Pulau Pinang akan dapat mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak dengan sokongan dan kerjasama daripada semua sektor, sama ada pihak kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).