Konspirasi RM880 juta Jambatan Pulau Pinang, rugikan rakyat

Admin

 GEORGE TOWNKerajaan Negeri mengalami kerugian berjumlah RM132 juta rentetan penstrukturan semula syarikat konsesi Jambatan Pulau Pinang pada tahun 1995.

Perkara tersebut telah dibentangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng bagi menjawab soalan lisan yang diajukan oleh ADUN Padang Lalang, Tan Cheong Heng pada Sidang Dewan Undangan Negeri di sini baru-baru ini.

Hock Seng berkata, Jambatan Pulau Pinang yang telah siap dibina pada 1 Jun 1982 oleh Kerajaan Persekutuan dengan kos sebanyak RM943.54 juta, pada mulanya diselenggarakan oleh Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM).

“Walau bagaimanapun, ianya telah diswastakan kepada Syarikat Mekar Idaman bagi tempoh 25 tahun (1 Oktober 1993 hingga 31 Mei 2018) dengan nilai konsesi yang telah dipersetujui Kerajaan Persekutuan iaitu sebanyak RM550 juta.

Tambahnya, semasa pengambilalihan konsesi Jambatan Pulau Pinang oleh Syarikat Intria Berhad daripada Syarikat Mekar Idaman Sdn. Bhd. pada tahun 1995, nilai ekuiti 15% sepatutnya diserahkan kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi pihak Kerajaan Negeri selaras dengan arahan Unit Perancang Ekonomi (EPU) sejak 1993 lagi.

“PDC telah membeli 15% ekuiti atau 375,000 unit syer (kadar RM1.00 per syer seperti yang ditetapkan pada 1 Februari 1994),” ujar Hock Seng.

Jelas beliau, penyusunan semula Syarikat Mekar Idaman Sdn. Bhd. telah dimuktamadkan di mana Syarikat Intria Berhad telah membayar keseluruhan harga belian RM880 juta iaitu pembayaran tunai sebanyak RM224,001,600 dan penerbitan saham biasa baru sebanyak 157,036,642 unit (pada kadar RM4.05 sesaham) dalam Syarikat Intria Berhad.

“Walau bagaimanapun, sejak syarikat konsesi tersebut (Syarikat Mekar Idaman Sdn. Bhd.) mengalami masalah kewangan, ahli lembaga syarikat konsesi telah bersetuju untuk penstrukturan semula.

“Malangnya, tidak ada satu sen pun diperoleh Kerajaan Negeri. Ia adalah satu skandal besar yang merugikan rakyat Pulau Pinang,” tegasnya.

Dalam pada itu, ADUN Air Putih yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng yang turut serta dalam sidang media khas yang diadakan selepas persidangan turut mempersoalkan pegangan 15% yang tidak langsung diterima oleh Kerajaan Negeri.

“Tak mungkin Jambatan Pulau Pinang kerugian apabila setiap hari pungutan tol dijalankan.

“Setiap tahun, hasil pungutan tol Jambatan Pulau Pinang hampir mencecah RM176 juta dan sehingga 31 Disember 2038 kelak, jumlah tersebut boleh mencecah RM5 bilion,” ujar Guan Eng yang turut terkilan kerana kepentingan Kerajaan Negeri dalam pegangan ekuiti Jambatan Pulau Pinang tidak diambil berat dan tidak dihiraukan.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan wujudnya skandal (penyelewengan) dan konspirasi di sebalik isu penjualan konsesi Jambatan Pulau Pinang yang bernilai RM880 juta tersebut.