Pembakar usang tidak jejas kualiti kuih Sri Ayu Halimatun

Admin
RUPA bentuk kuih Sri Ayu.
RUPA bentuk kuih Sri Ayu.

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : ALISSALA THIAN

SETIAP hari di dapur kecilnya, Halimatun Halipah, 37, bekerja selama 14 jam setiap hari bagi menambah pendapatan keluarganya.

HALIMATUN Halipah.
HALIMATUN Halipah.

Rutin ditempuhi selama 14 tahun tidak pernah mengagalkan semangat ibu kepada tiga cahaya mata tersebut untuk menghasilkan kuih Sri Ayu yang enak sekali untuk para pelanggannya.

Walaupun hanya berbekalkan dua buah dapur pembakar kecil yang diletakkan di perkarangan luar kediamannya, Halimatun mampu menghasilkan 1,000 biji kuih Sri Ayu setiap hari. Jumlah tersebut tidak termasuk tiga jenis kuih lain iaitu kek kukus, apung dan kuih Mas Ayu yang turut menjadi permintaan tinggi dalam kalangan penduduk tempatan serta luar.

Kuih Mas Ayu.
Kuih Mas Ayu.

“Setiap hari, saya mula ‘kerja’ pada pukul 8 pagi dan hanya selesai semua pada pukul 10 malam. Dalam pada itu, saya juga mengambil anak dari sekolah, menyiapkan kerja-kerja rumah dan juga masak untuk keluarga.

“Mula-mula memang rasa penat, tapi, lamakelamaan, dah biasa,’’ kata Halimatun ketika ditemui di kediamannya di Sungai Acheh, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan (SPS) di sini baru-baru ini.

Dasarnya, Halimatun yang berasal dari Perlis tidak mempunyai minat untuk berkecimpung dalam industri pembuatan kuih . Namun, minatnya dalam bidang perniagaan merupakan faktor pendorong utama kepada pencapaian beliau kini.

“Semuanya bermula selepas saya mendirikan rumah tangga dan berpindah ke sini (Sungai Acheh). Atas niat untuk menambah pendapatan keluarga dan juga dorongan daripada suami serta ibu mertua, akhirnya saya mengambil keputusan untuk cuba membuat kuih Sri Ayu.

“Kenapa Sri Ayu? kerana kuih tersebut adalah lain dari yang lain,’’ jawabnya ringkas.

Tidak dinafikan, pada peringkat permulaan, resipi yang diperoleh daripada ibu saudara beliau tidak menjadi sebagaimana diduga. Atas semangat dan dasar tidak putus asa, Halimatun belajar sendiri dan selepas tempoh dua hingga tiga bulan, resipi kuih Sri Ayu beliau akhirnya menjadi!

Pada peringkat permulaan, hanya 200 biji kuih yang dijual. Ekoran keenakannya, permintaan daripada pelanggan kian meningkat sehingga 1,000 biji kuih dihasilkan setiap hari dan lebih 2,000 biji sepanjang musim Ramadhan.

Selain sekolah-sekolah di Sungai Bakap, SPS, kuih Sri Ayu berserta tiga jenis kuih lain turut dipasarkan di Bandar Baru, Parit Buntar dan lain-lain.

Ini tidak termasuk tempahan semasa diterimanya.

“Kuih ni saya buat seorang cuma kadang-kala terdapat seorang pembantu yang tolong masukkan kelapa pada dasar bekas kuih.

“Malah, setiap hari pada pukul 5.30 pagi, suami akan hantar kuih-kuih yang telah siap ke sekolah-sekolah sebelum ke tempat kerja . S e m u a penghantaran dibuat sendiri,’’ jelasnya sambil menyatakan bahawa suaminya bekerja sebagai seorang pemandu lori.

Berbicara mengenai cabaran dihadapi, Halimatun tidak menafikan bahawa persaingan adalah faktor utama. Malah, kadangkala kuih yang dipasarkan tidak habis dijual.

Bagi perancangan masa depan, beliau begitu mengharapkan terdapat pihak yang tampil menghulurkan bantuan mesin, peralatan dapur serta ruang yang lebih selesa untuk pelaksanaan kerja-kerja hariannya.

“Memang tersirat dalam hati nak buat lebih dan tingkatkan penghasilan kuih serta produk. Namun, sumber kewangan saya adalah amat terhad,’’ ujar beliau sambil menunjukkan keadaan dua pembakar usang yang digunakannya.

Bagi Halimatun, walaupun terpaksa akur dengan kekurangan dapurnya, apa yang penting adalah mengekalkan kualiti kuih dihasilkan.

“Secara purata, kuih Sri Ayu dapat bertahan selama dua hari. Sekiranya disejukbekukan, ia dapat bertahan selama tiga hari (perlu dikukus semula untuk dimakan).

“Sekiranya tiada kelapa, tempoh ketahanannya adalah selama empat hingga lima hari,’’ katanya.

Bagi Buletin Mutiara, kuih Sri Ayu Halimatun adalah yang paling enak pernah dirasai!

PEMBAKAR yang digunakan.
PEMBAKAR yang
digunakan.