Abby Abadi turut serta imarahkan Ramadhan

Admin

PULAU BETONG –Kehadiran selebriti terkenal, Abby Abadi untuk bersama mengimarahkan sambutan bulan Ramadhan di sini telah membuka peluang kepada penduduk tempatan bersama berkongsi kembara hidayah beliau baru-baru ini.

Bagi Abby, beliau tidak menyangkal bahawa kini hatinya lebih tenang dan amat merasai nikmat hidayah sehingga membuatkannya begitu teruja untuk berkongsi kenikmatan hidup setelah berhijrah.

“Saya nak kawan-kawan merasai nikmat hidayah ini, sebab itulah saya ‘sharesegala ilmu yang saya dapat di sini.

“Bersyukurlah kerana kita bukan siapa-siapa, tetapi diberikan kekuatan untuk menerima hidayah,” ujar Abby pada majlis Bicara perkongsian Hidayah yang diadakan di perkarangan Masjid Kampung Perlis di sini baru-baru ini.

Majlis yang diadakan setelah selesai solat terawih berjemaah adalah bersempena pelancaran buku, Ajaibnya Hidayah hasil karya Ridzwan Abu Bakar yang menceritakan tentang kembara hidayah oleh Abby sendiri. Ridzwan turut hadir pada majlis berkenaan.

Dalam pada itu, moderator majlis yang juga Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail menyatakan bahawa program santai bersama Abby adalah untuk membuka ruang serta peluang untuk jemaah yang hadir mengenali beliau dan penghijrahannya.

“Perubahan serta penghijrahan adalah sesuatu yang positif dan tidak semua orang berpeluang memperolehnya.

“Majlis ini mempunyai signifikannya tersendiri dan saya percaya para jemaah dapat manfaat daripadanya,” ujar Mohd. Tuah yang turut menyatakan bahawa majlis ini adalah medan terbaik terutama kepada anak-anak muda dalam mencorak hidup mereka ke arah keberkatan.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan naskah buku tersebut, hubungi Khairul Azli Hamzah di talian 019- 265 4255 atau emel, [email protected].

(Dari kiri), ABBY Abadi, Mohd. Tuah Ismail, Ridzwan Abu Bakar ketika sesi perkongsian bersempena majlis Bicara Perkongsian Hidayah di sini baru-baru ini
(Dari kiri), ABBY Abadi, Mohd. Tuah Ismail, Ridzwan Abu Bakar ketika sesi perkongsian bersempena
majlis Bicara Perkongsian Hidayah di sini baru-baru ini