SERAMBI PENANG INSTITUTE : “Meraikan Keagungan Ilmu”

Admin

Salam perjuangan kepada semua pembaca Buletin Mutiara! Selamat datang ke ruang bacaan santai terbaru dalam buletin ini, iaitu ‘Serambi Penang Institute’. Bagi yang masih belum mengenali, Penang Institute merupakan sebuah badan pemikir dan penyelidik dasar kepada kerajaan negeri Pulau Pinang. Ditubuhkan sejak tahun 1997, dengan nama Socioeconomic and Environmental Research Institute (SERI), kini Penang Institute terus gigih dalam usahanya untuk membawa rakyat bersama-sama menyumbang kepada pembangunan minda di negeri ini.

Meraikan keagungan ilmu. Ya, memang tajuk ini seakan agak tinggi untuk dibincangkan. Namun, dengan keberadaan kita di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, sudah pasti ia bukan suatu topik yang asing atau aneh untuk kita sembangkan. Ramadhan, bulan kesembilan dalam kalendar Hijriyyah, mengajak seluruh umat Islam untuk menghayati nilai pengorbanan, kepayahan, sikap ambil peduli dan rendah diri. Ini merupakan nilai-nilai utama yang wajar kita ambil dari pengajaran Ramadhan. Di sebalik nilai-nilai asas ini, barangkali ramai di antara kita yang lupa akan peranan Ramadhan sebagai sebuah institusi ilmu, yakni sebagai sebuah madrasah yang meraikan keagungan ilmu!

Intipati Ramadhan sebagai bulan ilmu itu dapat kita telusuri dengan peristiwa besar Nuzul Qur’an yang baru kita sambut beberapa hari lalu. Pada kejadian inilah, turunnya wahyu pertama di Gua Hira’ kepada junjungan Nabi Muhammad S.A.W. Seruan pertama dari Surah al-Alaq, yang dimulakan dengan kalimah ‘Iqra’ Bismirabbikalladzi Khalaq’ (Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan) padat dengan pesanan penting buat umat manusia. Nah, di sinilah titik sinar yang menyinari seluruh dunia dan alam semesta. Ilmu yang diajarkan kepada kita ini, bukan hanya untuk dibaca, bahkan diminta agar kita meyakininya, seterusnya diamalkan untuk kebaikan dan kemaslahatan umat manusia seluruhnya.

Atas prinsip dan semangat ini jugalah, Penang Institute tidak pernah jemu-jemu untuk mengajak umum, khususnya rakyat Pulau Pinang untuk bersama-sama memeriahkan program-program meraikan keagungan ilmu.

Tahun 2011 dan 2012 merupakan dua tahun yang cukup progresif bagi Penang Institute dengan pelaksanaan beberapa siri program keilmuan yang dikira sebagai perintis dan pencetus kepada kebangkitan ilmu di rantau ini. Program kelimuan ini merangkumi Forum Nusantara, sebuah siri canai ilmu yang mengupas isu-isu bahasa, kebudayaan dan tokoh-tokoh ilmuwan di rantau Nusantara.

Forum ini telah berjaya dilaksanakan selama lima kali dan berjaya membuka dimensi baru dalam membincangkan tajuk-tajuk serantau yang dinamik. Kemudian, Penang Institute atas prinsip kebenaran dan keadilan telah menjalankan beberapa siri program pendedahan salahlaku kerajaan pusat yang dikira melibatkan wang rakyat bernilai berbilion ringgit. Bermula dengan Dialog Belanjawan 2012, di mana rakyat diajak mengkritik dan mencadangkan penambahbaikan kepada pengurusan perbelanjaan kerajaan pusat.

Seterusnya, disusuli dengan pendedahan dua kes yang menggegarkan negara, iaitu Kes Skandal Zon Bebas Cukai Pelabuhan Klang (PKFZ) dan pendedahan ekslusif tentang Skandal Tukaran Mata Wang Asing (FOREX) yang dilakukan oleh Bank Negara dalam pertengahan 90-an. Diskusi ini walau di satu sudut nampak sensasi, namun ia telah berjaya membuka mata rakyat akan salah guna kuasa oleh pemerintah dan dalam masa yang sama mendesak agak pesalah-pesalah segera dihadap ke muka pengadilan.

Penang Institute tidak berhenti setakat itu sahaja. Pada April 2012, institut ini telah memperkenalkan kaedah baru untuk berkongsi maklumat dengan rakyat. Kami telah berjaya mendapat kelulusan untuk mengadakan tayangan dokumentari ‘Urbanized’, iaitu sebuah filem khas berkenaan kesedaran mengatur semula sistem perbandaran, yang memaparkan pengkisahan dari 10 buah bandar-bandar utama di dunia. Tayangan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan, dan Penang Institute berjaya membawanya ke negeri-negeri lain!

Seterusnya, kesungguhan institut ini dalam agenda ilmu, khusus dalam tadbir urus negara yang bersih dan amanah ditunjukkan dalam penganjuran persidangan Gabungan ASEAN untuk Kerajaan yang Bersih, atau (ASEAN Coalition for Clean Governance) pada tanggal 25 Jun 2012. Persidangan yang julungkali diadakan di rantau ini berjaya mengumpulkan para pimpinan politik dan cendekiawan dari negara-negara ASEAN yang komited untuk membanteras rasuah dan salahguna kuasa, ke arah sebuah sistem urus negara yang bersih. Antara pemimpin-pemimpin ulung yang turut serta dalam persidangan tersebut adalah Abhisit Vejjajiva, bekas Perdana Menteri Thailand, Dr. Anwar Nasution, bekas Ketua Audit Indonesia, serta Datuk Ambiga Sreenevasan, pengerusi bersama Bersih 2.0. Impak utama program ini adalah dengan termeterainya sebuah resolusi 10 perkara yang perlu dilaksanakan dengan gigih di negara masing-masing.

Demi menyerap semangat Ramadhan, sebuah siri khas Penang inAsia Lecture telah diadakan buat kali ketiga, beberapa hari sebelum menjelang Ramadhan. Pihak institut berasa amat bertuah, kerana telah berjaya mendatangkan seorang tokoh hebat dalam dunia Islam kontemporari. Beliau yang tidak asing lagi, adalah Profesor Tariq Ramadan. Berucap dalam rangka tema besar, bertajuk “Islam, Demokrasi & Hak Asasi Manusia: Kebangkitan Dunia Islam”, Prof. Tariq telah berjaya memecah tembok penghalang yang selama ini telah memisahkan kesatuan kefahaman di antara dunia barat dan dunia Islam. Pesanan beliau yang amat berguna kepada hadirin yang berbilang agama dan kaum adalah, seruan membuang persepsi negatif terhadap Islam dan saranan supaya semua agama dengan asas moral yang sekata, agar bersama-sama dengan Islam demi mewujudkan sebuah dunia yang lebih aman.

Justeru, marilah kita sama-sama mengambil semangat Ramadhan ini untuk terus dibawa merentasi 11 bulan yang mendatang. Penang Institute akan tetap terus komited memastikan Pulau Pinang tidak sunyi dari diskusi ilmu yang bermanfaat dalam mengubah diri, keluarga, komuniti dan seterusnya negeri yang kita cintai ini. Adalah diharapkan, agar Ramadhan tahun ini adalah lebih baik dari tahun sebelumnya, dan sama-sama kita doa agar Allah S.W.T. kurniakan kita dengan kesungguhan untuk terus mendalami ilmu dan menjadi rakyat yang kaya maklumat. Akhir sekali, saya mewakili warga kerja Penang Institute ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfiti dan Maaf Zahir Batin!

SYED MIKAEL RIZAL AIDID

Eksekutif Komunikasi & Program Penang Institute